Kerja-kerja di tapak pembinaan beroperasi dalam keadaan gelap.

KUALA LUMPUR – Satu tapak binaan kondominum di Bukit Kiara dipercayai melanggar syarat keselamatan melakukan kerja sebelah malam tanpa pemasangan lampu yang mencukupi.

Tapak berkenaan terletak berhampiran pusat konvensyen dan padang golf, tiada perumahan penduduk antara punca pendorong pemaju projek berani melanggar garis panduan yang ditetapkan.

Tinjauan wartawan ke tapak berkenaan sejak malam Selasa lalu mendapati kerja-kerja konkrit menggunakan kren menara masih beroperasi di sebelah malam dalam keadaan mencurigakan dan tanpa lampu.

Ia menimbulkan hipotesis tapak itu tidak mendapat kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana kerja-kerja dijalankan dalam gelap.

Syarat yang dikenakan Kementerian Kerja Raya termasuk sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membenarkan kerja dijalankan selepas 5.30 petang jika ada kebenaran PBT.

Menurut sumber, operator kren diarahkan tidak memasang lampu ‘sportlight’ jentera malah tapak projek bergelap walau kerja rancak dijalankan.

“Situasi itu mendatangkan risiko terhadap pekerja di tapak pembinaan.

“Kemungkinan projek dijalankan kerana pemaju tidak sanggup menanggung kos yang banyak akibat penangguhan sepanjang awal PKP dilaksanakan.

“Penangguhan itu menyebabkan pemaju terpaksa membayar upah pekerja walau tiada kerja dijalankan dan mahu mempercepatkan kerja supaya siap dalam tempoh asal jadual yang dipersetujui.

“Faktor duit lebih tepat sama seperti ada pemaju guna operator kren asing yang murah dan guna jentera yang tidak diselenggara dengan baik sebab nak murah,” katanya.

Bagaimanapun ia meletakkan risiko nyawa pekerja yang terpaksa bekerja setiap hari terutama apabila berkerja lebih masa pada waktu malam tanpa menghidupkan sportlight yang ada pada kren menara untuk menerangi seluruh tapak pembinaan tersebut demi mengelak di kesan pihak berkuasa.

Sumber memaklumkan tiada cuti diberi sedangkan mengikut arahan PKP, tapak binaan tidak dibenarkan beroperasi pada hari Sabtu dan Ahad.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Muhammad Azber Mohammad Safdar berkata, mengikut peraturan keselamatan setiap tapak binaan perlu mematuhi garis panduan pencahayaan yang mencukupi bagi menggurangkan risiko keselamatan pada pengguna.

“Ada kebenaran atau tidak ia isu berbeza, isunya di sini pematuhan garis panduan seperti pencahayaan amat penting khususnya kerja-kerja yang dijalankan pada waktu malam,” katanya. – MalaysiaGazette