antara yang dibenarkan adalah latihan persediaan pasukan dan aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan seperti boling, badminton, memanah dan sebagainya.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Beberapa jenis sukan dan rekreasi akan mula diberi kebenaran di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula Rabu ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, antara yang dibenarkan adalah latihan persediaan pasukan dan aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan seperti boling, badminton, memanah dan sebagainya.

Malah aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal juga dibenarkan di bawah PKPP.

Bagaimanapun. menurut Muhyiddin, pertandingan sukan atau permainan melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai seperti di stadium masih tidak dibenarkan.

Aktiviti sukan renang dan penggunaan kolam renang awam serta sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bola sepak, bola keranjang dan hoki juga masih dilarang semasa tempoh PKPP.

“Untuk mengetahui dengan lebih lanjut senarai aktiviti atau sektor yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan, saudara-saudari bolehlah layari laman web Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Tambah Muhyiddin, meskipun kerajaan telah memberikan banyak kelonggaran di bawah PKPP, namun masih terdapat sekatan yang perlu dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Ini termasuk pub, kelab malam, pusat hiburan, pusat refleksologi, pusat karaoke, taman tema, perarakan keagamaan dalam jumlah yang ramai, kenduri-kendara, rumah terbuka dan apa-apa aktiviti lain yang melibatkan kehadiran orang ramai yang bersesak di suatu tempat sehingga menyukarkan amalan penjarakan sosial dan pematuhan kepada SOP.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast