Trend #lathichallenge kini tular di media sosial.

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Faizal Tahir, 42, mengkritik aksi solekan bertukar menjadi hantu yang kini menjadi ikutan ramai dalam laman sosial iaitu #lathichallenge.

Menyifatkan cabaran berkenaan menyalahi hukum agama, Faizal menasihati pengikut laman sosialnya supaya berfikir waras dan menjauhkan perbuatan sia-sia.

“Kepada umat Islam khususnya, kalau buat apa-apa, fikirlah dahulu sama ada Nabi Muhammad SAW tahu apa yang kita lakukan. Apakah baginda boleh terima atau tidak. Sedih tengok.

“Masa dan usaha yang anda letakkan melakukan pelbagai cabaran yang wujud dalam media sosial sukar untuk dipercayai.

“Adakah anda terfikir Allah SWT akan bertanya mengenai segala cabaran di akhirat nanti?,” tulis Faizal di medium Instagram dam Twitter miliknya.

Penyanyi Ragaman ini mempersoalkan sikap mereka yang gemar melakukan perkara tidak berfaedah dalam laman sosial seperti menari.

Baginya, langsung tidak menyumbang apa-apa kepada masyarakat.

“Pernahkah terdetik dalam fikiran apabila anda buat segala cabaran seperti berjoget dan kemudiannya, muat naik dalam laman sosial, adakah memberi sumbangan kepada masyarakat?

“Kenapa menghabiskan masa dan tenaga untuk melakukan sesuatu sia-sia dan tak menyumbangkan kepada amalan sebagai bekalan apabila mati nanti. Fikir-fikirkanlah,” tegur Faizal meluahkan rasa sedihnya.

Perkongsian itu turut memaparkan Faizal memuat naik tangkap layar seorang individu sedang disolek sebelum tampil dengan wajah menyeramkan.

Menerusi entri itu, Faizal mengingatkan semua pihak supaya tidak mudah terikut dengan aliran terkini yang langsung tidak membawa sebarang kebaikan.

“Jangan membabi buta melakukan semua benda yang orang lain buat hanya kerana ia aliran terkini. Ini adalah antara cara bagaimana Dajal mahu memperdayakan kita.

#lathichallenge adalah cabaran wanita atau lelaki mengenakan solekan ala Melayu Nusantara lama dan menari tarian tradisional sebelum bertukar rupa menjadi seperti hantu.

Aliran terbaharu itu dikatakan datang daripada aplikasi Tik Tok dan mula tular di Indonesia hingga Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast