Pita pelekat dilekatkan di atas kerusi bagi menandakan penjarakan sosial yang perlu dipatuhi pelanggan bagi mencegah penularan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kedai Tenaga Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 02 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Seluruh rakyat Malaysia tidak sabar menunggu pengumuman khas oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung status terkini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sekarang dikuatkuasakan dengan bersyarat (PKPB).

Ramai berteka-teki adakah PKP akan disambung dengan bersyarat atau perintah tersebut akan ditamatkan pada 9 Jun nanti iaitu hari terakhir pelaksanaan PKPB.

Malaysia telah menguatkuasakan PKP sejak 18 Mac lalu bagi membendung pandemik Covid-19 yang telah melanda seluruh dunia sehingga menyaksikan jutaaan nyawa terkorban.

Di Malaysia sendiri Covid-19 telah mengorbankan 117 nyawa setakat semalam dan masih ada lima pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Selain PKP, PKPB – kerajaan juga mengiystiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan berisiko tinggi bagi membolehkan aktiviti pengesanan jangkitan Covid-19 dilakukan dengan berkesan.

Pemerhati berpendapat, PKP mungkin tidak akan ditamatkan pada 9 Jun ini sebaliknya kerajaan dijangka memberi kelonggaran kepada lebih banyak sektor serta membenarkan rentas negeri kecuali di zon merah.

Sektor pendidikan dijangka masih menyaksikan pembukaan sekolah yang amat terhad di mana pembelajaran di peringkat rendah masih mungkin tetap tidak dibenarkan manakala di peringkat menengah dan universiti dibuka secara berperingkat.

Kelonggaran itu bagaimanapun tertakluk kepada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dalam kalangan rakyat dalam proses mendidik mereka supaya berjaga-jaga bagi mengelak jangkitan Covid-19.

Langkah itu juga dilihat sebagai proses menyiapkan rakyat Malaysia untuk mengadaptasi norma baharu apabila PKP ditamatkan selepas lanjutan dua minggu PKPB iaitu pada 24 Jun nanti (jika dihitung lanjutan bermula 10 Jun) selesai kelak.

Oleh itu tempoh lanjutan dua minggu dilihat amat penting untuk melihat sejauh mana rakyat Malaysia bersedia serta mampu mematuhi segala SOP yang ditetapkan seperti mengamalkan penjarakan sosial, sentiasa membasuh tangan dan memakai pelitup muka di tempat awam.

Sememangnya kerajaan tidak boleh berterusan melaksanakan PKP baik dengan syarat atau tanpa syarat kerana sektor ekonomi, pendidikan dan sosial mesti digerakkan bagi memastikan pembangunan negara dapat diteruskan.

Dalam keadaan jumlah pengangguran dijangka menjangkau angka 900,000, ekonomi negara tidak boleh dibiarkan merudum kerana kesan jangka panjang pandemik Covid-19 terlalu besar jika pelan pemulihan ekonomi tidak segera dilaksanakan.

Namun untuk menghentikan segera PKP selepas dua bulan 21 hari dilaksanakan mungkin memerlukan penelitian yang amat mendalam kerana Covid-19 masih ‘berkunjung’ ke Malaysia dan juga negara-negara lain di dunia.

Bukan itu sahaja, ‘kunjungan’ Covid-19 itu tidak diketahui di mana dan siapakah penemannya, justeru keputusan yang tidak teliti dikhuatiri akan mewujudkan gelombang ketiga yang boleh membantutkan pelan pemulihan ekonomi yang telah dirancang oleh kerajaan.

Apa pun kita tunggu pengumuman pukul 3 petang ini dengan fikiran terbuka dan penyatuan jiwa untuk memastikan Malaysia bebas Covd-19 dalam kita mengamalkan norma kehidupan baharu. – MalaysiaGazette

 

 

1 Komen

  1. Lapuran MG ini menulis “jutaan nyawa terkorban akibat covid 19”
    Banyak nya…sampai jutaan orang terkorban.??!!!!

    Macam mana boleh tulis maklunat salah ini??
    Mana ada sampai sejuta orang terkorban akibat covid 19 sehingga boleh tulis “jutaan nyawa terkorban” didunia ini??

Comments are closed.