Kajian jurnal perubatan di New England yang dikeluarkan menjelaskan, sekiranya semua pihak mengamalkan penjarakan sosial satu atau dua meter, ia boleh membantu memutuskan jangkitan Covid-19.-Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Rantaian jangkitan rantaian Covid-19 di negara ini boleh diputuskan sepenuhnya tanpa vaksin sekiranya rakyat komited mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) Kesihatan Awam yang disyorkan kerajaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, rakyat perlu terus mematuhi SOP dan mengamalkan penjarakan sosial sekurangnya satu hingga dua meter, memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan atau bersanitasi secara berterusan.

Menurut beliau, pihaknya belum dapat memastikan lagi tempoh penemuan vaksin Covid-19 walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengharapkan penemuannya mungkin dalam tempoh setahun atau setahun setengah.

“Tetapi apa yang pasti dan kita belajar dari Koronavirus 2019 dan SARS tidak mempunyai vaksin sehingga hari ini tetapi kita dapat membendung SARS menggunakan kaedah tindakan kesihatan awam di negara kita tanpa menggunakan vaksin.

“Jadi, ada kemungkin tanpa menggunakan vaksin kalau kita semua patuh kepada SOP dan juga kepada saranan kesihatan awam, maka kita juga boleh memutuskan Covid-19 sepertimana SARS tanpa vaksin.

“Jadi tak mustahil untuk kita berjaya memutuskan Covid-19 tanpa menggunakan vaksin tapi kalau ada vaksin lagi bagus.. tapi kalau tanpa vaskin pun kita mungkin boleh gunakan kaedah tersebut,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Noor Hisham, pihaknya hanya mempunyai satu permintaan besar kepada rakyat yang mana mahu mereka memberi kerjasama secara sepenuhnya dengan serius mematuhi SOP kesihatan awam yang ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, kajian jurnal perubatan di New England yang dikeluarkan menjelaskan, sekiranya semua pihak mengamalkan penjarakan sosial satu atau dua meter, ia boleh membantu memutuskan jangkitan Covid-19.

“Ia ditambah pula dengan memakai pelitup muka dan lebih kerap mencuci tangan. Sebab itu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan panduan baharu berdasarkan bukti-bukti ini iaitu boleh kita putuskan jangkitan virus bahaya ini jikalau mengamalkan saranan kesihatan awam.

“Ini penting sama-sama kita melihat bagaimana hendak memulihkan ekonomi tanpa ada vaksin dan kita amalkan SOP kesihatan awam yang ditetapkan kerajaan,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisham berkata, kawalan sempadan antarabangsa negara juga masih akan diperketatkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini bagi mengelak sebarang pencerobohan dan tidak dibuka kepada dunia luar tetapi hanya sempadan antara negeri dilonggarkan.

“Kalau kawalan dan pengawasan kita baik sepanjang pelaksanaan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) nanti, kita akan lihat langkah selepas 31 Ogos nanti, akan memberi kelonggaran kepada kawalan sempadan antarabangsa dengan syarat SOP yang akan ditetapkan nanti.

“Contohnya, kawasan zon hijau negara yang mempunyai kes Covid-19 rendah dan kita akan fikir bagaimana hendak melaksanakan saringan dan kuarantin 14 hari sama ada di negara kita akan di negara masing-masing sebelum dibenarkan masuk ke dalam negara kita.

“Itupun hanya bergantung kepada perkembangan terkini ketika itu nanti,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast