Asmarul Nizan Kassim

PUNCA kepada masalah yang berlaku di Malaysia ialah sikap dan ideologi pemimpin itu sendiri tidak mahu berubah, tetapi menyuruh untuk orang lain pula berubah.

Itulah sikap yang ada pada pemimpin kerajaan Malaysia sekarang. Ironinya, kita sering marah dan menyalahkan orang lain, terutama orang kafir dalam setiap tindak tanduk mereka lakukan.

Persoalannya, apa kamu lakukan sebagai pemimpin untuk membina sebuah negara aman dan adil berasaskan perpaduan kaum? Dalam konteks ini, perkara utama menjadi masalah ialah sistem bernegara yang ada sekarang ini tidak membantu untuk mencapai matlamat di atas.

Secara mudahnya, sistem demokrasi inilah sebenarnya memberi ruang kepada mereka yang tidak mahu melihat Islam memimpin dunia.

Ruang inilah membenarkan mereka untuk melakukan pelbagai tindakan yang boleh memberi masalah kepada keamanan dan perpaduan dalam masyarakat.

Secara teknikalnya, sistem tidak salah, tetapi kita perlu berfikir dan mengkaji dengan mendalam mengenai tujuan, matlamat, sumber rujukan dan pengasas kepada sistem demokrasi ini.

Sebagai tuan rumah majoritinya adalah umat Islam, apakah kita tidak mampu membuat sistem sendiri yang boleh menjamin keadilan, keamanan dan perpaduan bersama?

Apa solusinya?

Sudah pasti Islam bersumberkan al-Quran dan Sunnah Rasulullah menjadi solusinya. Persoalannya, adakah ahli politik dan pemimpin yang sedia ada ini faham mengenai sistem politik terutama dalam konteks teknikal?

Inilah sebenarnya menjadi masalah apabila pemimpin sedia ada dan ahli politik bersifat kepartian tidak mahu mengkaji secara mendalam.

Di Malaysia ini sangat mudah untuk menjadi perdana menteri dan menteri iaitu dengan hanya melibatkan diri dalam politik kepartiaan tanpa mengambil berat soal kelayakan seseorang mengikut keahlian dalam bidang tertentu.

Ini diburukkan lagi dengan mentaliti sesetengah pemimpin agar memberi peluang kepada pemimpin yang tidak sepatutnya menjawat sesuatu jawatan, tetapi atas dasar demokrasi dan politik kepartian, maka jawatan tersebut diserahkan kepada mereka yang tidak sepatutnya.

Ini berbeza dengan falsafah politik Islam, di mana pemilihan pemimpin dibuat mengikut kelayakan dan keahlian seseorang secara syura.

Kepada mereka yang mengamalkan politik kepartian, terangkan dengan jelas bagaimana sistem demokrasi ini boleh membawa kepada perpaduan kaum dalam konteks pemerintahan negara?

Jelaskan dari segi teori, teknikal dan praktikal. Dalam konteks teknikal, jelaskan juga dari segi struktur, organisasi dan aliran kerja.

Mengambil contoh isu semasa yang berlaku hari ini iaitu Dong Zong. Secara peribadi, saya tidak menyalahkan orang kafir dalam usaha mereka untuk melihat Malaysia ini menjadi sebuah negara demokrasi mengikut acuan mereka.

Begitu juga dengan masalah-masalah dan isu-isu lain yang timbul. Semua yang berlaku bukan salah mereka.

Dah tu salah siapa?

Orang Melayu yang mengaku Islam. Dalam masa yang sama merupakan golongan majoriti dan penduduk asal di negara Malaysia ini.

Alhamdulillah, saya juga merupakan anak Melayu beragama Islam dan bersyukur dilahirkan di negara Malaysia. Atas dasar itu, saya mengambil tanggungjawab untuk lakukan kerja dakwah ini demi agama dan negara.

Sudah sampai masanya hari ini, kita umat Islam menterjemahkan dan menunjukkan kepada mereka bahawa Islam sahaja boleh menyelesaikan segala masalah.

Perkara ini tidak cukup dengan Parti Bersatu, Amanah, Keadilan dan Penyatuan Ummah yang hanya sekadar berteori sahaja, tetapi perlu juga diterjemahkan dari segi teknikal.

Bercakap dari segi teknikal, inilah salah satu punca utama yang menyebabkan permasalahan besar berlaku di Malaysia, selain dari soal akidah, adab dan akhlak.

Sebagai golongan muda, kita perlu memikirkan mengenai masa hadapan kita dan negara. Atas dasar perpaduan dan keadilan ini kita perlu bersama mewujudkan kembali suasana yang telah lama hilang akibat kejahilan kita sendiri dalam membentuk sebuah negara berkebajikan.

Apakah suasana itu?

Sudah pasti suasana dan persekitaran yang berasaskan Islam dan bersumberkan al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Pastikan kita faham mengenai Islam sekiranya mahu memberikan sebarang pandangan dan kritikan.

Kepada mereka yang tidak mahu melihat Islam memimpin dunia amnya dan dilaksanakan di Malaysia khususnya, terangkan secara jelas mengenai falsafah hidup dan falsafah politik anda dalam konteks pemerintahan negara terutama dalam membentuk perpaduan dan keadilan. – MalaysiaGazette

Asmarul Nizan Kassim adalah Penganalisis Bebas dan juga Pengerusi NGO, Suara Anak Muda Islam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

4 Komen

  1. apa benda ler kau cakap ni? pusing sana pusing sini.
    Apa action plan nya? Apa yg perlu dibuat dlm bahasa yg mudah?

    Tulus punya ler berjela, tapi cadangan nya habuk pun tak ada.

  2. Kawan2 jangan melenting tak pasal2. Tujuan dan niat penulis ni kelihatan baik.

    Pendek kata penulis ini menyarankan kita jadi atau ubah sikap dari yang buruk kepada baik. Contoh dari menerima rasuah jangan menerima rasuah, dari tak ikhlas bantu orang ke ikhlas bantu orang, dari pemfitnah kepada cakap benar. Erti kata lain jadi muslim insan kamil. Kalau kebanyakan pemimpin serupa itu, itulah solusinya. Mustahil? Semua bermula dari diri kita.

  3. Hahaha.. Padu tulisan ni dan aku sokong 100%…ni silap2 haribulan orang akn kata ni RBA nih

Comments are closed.