KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula hari ini menyaksikan keyakinan warga kota menjalani kehidupan harian dengan norma baharu
Sebagai contoih, pengguna pengangkutan awam di ibu negara tidak lagi berasa bimbang dengan kelonggaran yang diberikan kerajaan.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kata kunci yang dipegang pengguna pengangkutan awam adalah ‘norma baharu’ yang perlu diamalkan dan sikap kendiri masing-masing.
Pekerja swasta, Shamsuri Hassan berkata, beliau telah bekerja sejak Perintah kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun bezanya kali ini lebih ramai yang menggunakan pengangkutan awam.
Bagaimanapun, menurutnya, setiap pengguna mempunyai disiplin untuk menjaga jarak sosial dan memakai litup muka.
“Pemerhatian saya, orang awam masih mengikut peraturan dan saya tidak berasa bimbang kerana kesedaran masyarakat sudah tinggi. Jadi kita sendiri dah mula pandai jaga antara satu sama lain sebenarnya,” katanya.
Bagaimanapun, Shamsuri berkata, beliau masih mengamalkan sikap berjaga-jaga dengan tidak lagi makan di restoran meskipun kerajaan telah membenarkannya dengan beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP).
Berlainan pula dengan Khairul Rizki. Meskipun sudah mula makan di restoran bersama-sama rakan, beliau berkata. pematuhan yang tinggi dan pemantauan pihak berkuasa membuatkannya selesa makan di luar.
Retoran juga ujarnya, tidak sewenangnya melanggar SOP yang telah ditetapkan.
Galakan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengutamakan kendiri masing-masing, tambah beliau, menjadi pegangannya untuk terus memastikan wabak Covid-19 tidak merebak.
“Kita tengok premis makanan semuanya patuh dengan SOP, sebab kalau tak patuh memang kejap sahaja akan diambil tindakan kalau orang report (buat aduan).”
“Perdana Menteri suruh kita buat kawalan kendiri saya rasa semua dah faham. Maknanya kita semua dah buat new normal (norma baharu) kena pakai sanitizer (cecair nyah kuman) kena pakai mask,” ujarnya.
Sementara itu, pengguna setia bas RapidKL, Anama A/P Nagan berpuas hati dengan pematuhan SOP oleh pengurusan pengangkutan awam yang tetap mengutamakan penjarakan sosial meskipun pada waktu puncak.
Bagi Anama, bilangan kes Covid-19 yang semakin menurun saban hari merupakan perkembangan positif untuk seluruh rakyat Malaysia untur terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
“Saya juga menjaga jarak ketika duduk di dalam bas dan melihat penumpang lain duduk di kerusi yang dibenarkan sahaja. Ketika waktu pagi, saya lihat penumpang sendiri sudah mula beratur dalam keadaan berjarak dan sekarang saya tidak berasa takut kerana memakai penutup mulut dan kes semakin menurun” ujarnya.
Setiap hari menggunakan Transit Aliran Ringan (LRT), Kilias A/L Suresh yang bekerja di salah sebuah pasar raya di ibu kota melihat peningkatan kesedaran tentang penjagaan kesihatan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Demi rezeki, demi tugas harian, Kilias sudah pasti tidak mempunyai pilihan lain selain menggunakan LRT, namun beliau sentiasa mengutamakan kebersihan.
“Semua masyarakat megikut kecuali segelintir foreigner (warga asing) yang kurang faham tidak mengikut SOP dari segi menjaga jarak dan memakai penutup muka ketika ke tempat-tempat berisiko,” kata beliau.
Beliau yakin, sekiranya rakyat sentiasa mengamalkan langkah pencegahan yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), maka sudah pasti Covid-19 akan dapat ditangani. – MalaysiaGazette