Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew. foto AFIQ RAZALI, 13 APRIL 2020

SHAH ALAM – Polis Kontinjen Selangor masih mengekalkan Operasi Benteng atau Op Benteng bagi daerah-daerah di Selangor yang bersempadan dengan negara jiran walaupun negara kini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Jurucakap Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, Op Benteng di Selangor masih dikekalkan, sama ada laluan darat mahupun laut.

“Negeri yang bersempadanan dengan negara jiran, Op Benteng masih diteruskan, jadi daerah-daerah yang bersempadan dengan negara jiran itu kita akan adakan Op Benteng dan sekatan jalan raya (SJR) didirikan di lokasi-lokasi tersebut.

“Op Benteng masih kita kekalkan, sebab itu masih ada SJR bersempadanan dengan negara jiran kita masih kekalkan (darat dan laut),” katanya pada sidang media di ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Isnin lalu, Bernama melaporkan seramai 396 pendatang tanpa izin dan 108 tekong dilaporkan telah ditahan dalam Op Benteng sejak 1 Mei (sehingga Isnin lepas) atas cubaan memasuki sempadan negara secara haram.

Dalam pada itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dalam tempoh berkenaan, pihak berkuasa juga berjaya menahan 11 individu disyaki penyeludup serta menyita 13 kapal.

Op Benteng diaktifkan sejak Mei di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Dalam pada itu, Muhammad Yew berkata, semua SJR di kawasan sempadan Selangor ditarik balik dan ditutup berkuatkuasa bermula jam 12.01 tengah malam tadi susulan tempoh PKPP telah membenarkan perjalanan rentas negeri.

“PDRM telah menarik semua SJR di kawasan rentas negeri kerana tindakan rentas negeri telah dibenarkan bermula hari ini, kecuali kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

Sementara itu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berakhir tengah malam tadi menyaksikan polis membuat pemeriksaan pematuhan di mana seramai 5,560 orang diperiksa.

“Bagi premis, pasaraya, bank, premis kerajaan seramai 2,107 orang diperiksa; terminal darat, air dan udara pula 202 orang diperiksa.

“Yang menggunakan kenderaan awam dan vessel (2,804), pasar awam (74), tempat ibadat (34), tempat riadah (65), dan tapak binaan (10).

“Tiada tangkapan dan kompaun dikeluarkan untuk tempoh semalam,” katanya. – MalaysiaGazette