Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi (kanan) memantau prosedur operasi standard (SOP) sub-sektor perkhidmatan gunting rambut, pendandan rambut dan kecantikan pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Pusat Beli-Belah MyTown, Cheras, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 10 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Pemilik salon rambut diberi amaran agar tidak sewenangnya menaikkan harga perkhidmatan dengan memberi alasan terpaksa menanggung kos peralatan perlindungan tambahan bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alaxender Nanta Linggi menegaskan, penetapan harga perlu berpatutan berdasarkan kos tanggungan sebenar.

Ini kerana, jelas beliau, peralatan perlindungan tambahan yang perlu digunakan tidak termasuk dalam barangan yang dikawal haganya.

“Kita sebenarnya harga pelindung bukan mahal sangat. Plastik tu 80 sen. Shield (pelitup muka) pun tidaklah mahal sangat.  Jadi mungkin tak perlu katakan nak kawal rapi. Cuma kita semua tahu, harga dia begitu.

“Kalaulah ada  yang buat caj apron yang digunakan pelanggan, berbeza daripada 80 sen, contoh ada yang caj RM8, memang tangkaplah. Sebab memang tak boleh buat mengaut keuntungan begitulah.

“Mereka kutip kos itu daripada pengguna. Tapi jangan ambil kesempatan daripada pengguna jangan kaut keuntungan,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan mesra di beberapa premis kecantikan termasuk salon rambut di MyTown hari ini.

Alaxender turut mengingatkan agar premis-premis kecantikan dan salon rambut mempamerkan harga kos yang perlu ditanggung oleh pelanggan agar tidak berlaku kekeliruan.

“Cuma apabila harga diletakkan dan dipersetujui persatuan biarlah patuh yang dipamer sebab itu kita galakkan dan mengkehendaki semua premis pamerkan harga supaya pelanggan yang datang dia tahu bilan dia perlu bayar tinggi. Kalau dia hendak, dia bayar,” ujarnya.

Mengulas mengenai wujudnya permintaan untuk menambah masa menguruskan pelanggan di salon rambut, Menteri itu berkata, setakat ini semua premis perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan.

Bagaimanapun beliau tidak menolak untuk mempertimbangkan cadangan yang dianggap boleh menambah baik SOP perkhidmatan berkaitan kecantikan.

“KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) kumpul maklum balas daripada semua pihak. Bagaimana input kita boleh tambah baik,” kata beliau. -MalaysiaGazette