Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Rata-rata rakyat tidak dapat menerima penjelasan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sendiri mengenai punca peningkatan mendadak bil elektrik yang diterima jutaan pengguna sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Apatah lagi peningkatan bil tersebut naik begitu mendadak sehingga mencapai jumlah yang tidak masuk akal berbanding bil sebelum PKP sehingga mencetuskan kemarahan pengguna.

Presiden Kongres Kesatuan Perkerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berkata, pihaknya menerima terlalu banyak rungutan dan aduan daripada pelbagai pihak mengenai bil elektrik TNB yang terlalu tinggi sepanjang tempoh (PKP) dilaksanakan.

Katanya, isu tersebut menimbulkan kemarahan rakyat kerana tiada notis pemakluman awal kepada pengguna selain kegagalan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) memberikan bil setiap bulan berikutan penangguhan operasi pembacaan meter sepanjang tempoh PKP.

Berikutan itu, katanya, diskaun yang diberikan diibaratkan sebagai indah khabar daripada rupa.

“Harus diingatkan mengikut unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia kadar pengangguran dijangka meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 penganggur untuk keseluruhan tahun 2020 disebabkan krisis Covid-19.

“Ramai yang telah kehilangan kerja dan hilang punca pendapatan sepanjang tempoh PKP berlangsung.

“Maka Cuepacs menggesa TNB dan kerajaan menilai kembali pemberian diskaun kepada pengguna sepanjang tempoh PKP berlangsung kerana merasakan jumlah pemberian diskaun yang diumumkan sebelum ini hanya indah khabar daripada rupa sahaja,’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Adnan, sebelum ini TNB telah menawarkan diskaun sebanyak antara 2 hingga 50 peratus kepada penggunanya, mengikut kadar penggunaan masing-masing.

Bagaimanapun katanya, hanya pelanggan yang mempunyai kadar penggunaan elektrik yang rendah sahaja menikmati diskaun pada kadar yang lebih besar.

Menurutnya, hanya segelintir pengguna yang layak menikmati diskaun maksimum kerana TNB sendiri telah menjangkakan kadar penggunaan lebih tinggi disebabkan orang ramai banyak menghabiskan masa di rumah.

Adnan berkata, Ceupac berpendapat kadar diskaun yang perlu diberikan adalah antara 25 hingga 50 peratus daripada jumlah bil pelanggan tanpa mengambil kira jumlah penggunaan elektrik yanga mana ia bersifat menyeluruh.

Sementara itu, beliau memberitahu, kebanyak aduan yang diterima ialah pengiraan bil yang dibuat secara ‘lump sum’ (sekali gus) sepanjang tempoh PKP yang menjadi punca kenaikan bil elektrik.

“Walaupun TNB telah menjelaskan kadar pengiraan dibuat secara prorata, penjelasan tersebut tidak dapat diterima oleh rakyat dan perkara ini perlu diperhatikan secara serius oleh TNB bagi mengelakkan kekeliruan atau penindasan kepada rakyat.

“Cuepacs berharap kerajaan dan TNB dapat mempertimbangkan cadangan ini memandangkan syarikat milik kerajaan itu telah menikmati manfaat keuntungan berbilion ringgit setiap tahun sebelum ini.

“Inisiatif memberikan tanggung jawab sosial kepada rakyat haruslah dipikul dengan penuh ikhlas dan rasa tanggung jawab.

“Rasailah denyut nadi kesusahan rakyat ketika ini dan bukan hanya sekadar memberikan penjelasan yang sukar diterima oleh rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Janganlah gara2 bil letrik rakyat tukar kerajaan pulak. Berikan rebet yang berpatutan bulan depan, Kalau tak nanti kami nak pakat pakai solar dan jual letrik kepada masyarakat sekeliling yang tak pakai solar.

  2. TNB bukan rugi,cuma keuntungan susut sahaja disebabkan kerana banyak industri tutup sementara operasi semasa PKP. Sepatutnya TNB kena ikhlas memberi kerana TNB tiada persaing dalam menyediakan perkhidmatan elektrik, cuba lihat syarikat-syarikat telekomunikasi sanggup memberi internet percuma 1GB sehingga akhir tahun.

Comments are closed.