Gambar hiasan.

JAKARTA – Indonesia akan cuba melobi kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan kuota haji yang lebih besar pada tahun depan berikutan keputusan negara itu membatalkan penghantaran jemaah haji pada tahun ini berikutan penularan wabak Covid-19, kata Menteri Hal Ehwal Agama, Fachrul Razi.

“Kerajaan akan cuba sebaik mungkin untuk melobi (kerajaan Arab Saudi) dengan menggunakan pelbagai alasan,” kata Fachrul seperti dipetik kompas.com.

Beliau menjelaskan, Arab Saudi memahami keadaan Indonesia berdasarkan ia merupakan antara negara yang mempunyai bilangan jemaah haji terbesar.

Indonesia pada awalnya merancang menghantar 221,000 jemaah haji. Kementerian Hal Ehwal Agamanaya merekodkan hampir 180,000 jemaah haji telah membayar perjalanan berjadual mereka.

Bagaimanapun kementerian itu memutuskan untuk membatalkan penghantaran jemaah haji pada tahun ini berikuran penularan Covid-19.

Arab Saudi masih belum membuat keputusan mengenai  penggantungan umat islah mengerjakan umrah dan haji dan ini tidak memberi masa yang mencukupi kepada kerajaan Indonesia untuk menyediakan langkah-langkah perlindungan, lapor The Jakarta Post.

Fachrul berkata, kementeriannya akan cuba mendapatkan lebih banyak kuota jemaah haji walaupun ia sukar dilakukan kerana perkara tersebut ditentukan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). – Agensi