Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Barisan pengamal media dan wartawan memainkan peranan utama sebagai barisan hadapan dalam memberikan maklumat sahih serta memerangi berita palsu berkaitan Covid-19.

Ini termasuklah tugasan yang dijalankan oleh wartawan, jurugambar, jurukamera di lapangan dan pelbagai petugas di studio misalnya penyunting, petugas media sosial dan sebagainya, akui Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, jurubahasa isyarat juga memainkan peranan yang sangat penting untuk menyampaikan maklumat kepada mereka yang berkomunikasi melalui bahasa isyarat.

“Pelbagai platform media massa, media sosial dan media baharu
telah digunakan bagi memastikan orang ramai sentiasa dimaklumkan dengan maklumat dan berita yang tepat, cepat dan sahih mengenai wabak Covid-19.

“KKM ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan
dalam bidang kewartawanan yang telah memainkan peranan
yang sangat besar sebagai barisan hadapan dalam menyampaikan situasi sebenar Covid-19 kepada masyarakat,” katanya pada sidang media hari ini.

Bagaimanapun, dalam dunia serba moden ini, penggunaan media
baharu dan media sosial semakin meluas malah, kewartawanan
konvensional bukanlah satu-satunya kaedah penyebaran maklumat, katanya.

“Kini, semua pengguna media baharu dan media sosial juga adalah ibarat ‘wartawan’ melapor dan menyebar luas maklumat mengenai pelbagai perkara, 24 jam sehari dan
tujuh hari seminggu. Inilah konsep citizen journalism.

“KKM memuji ramai netizen yang telah bersama-sama dengan
kerajaan dalam memerangi Covid-19.

“Ramai yang telah menjalankan tanggungjawab sosial mereka dengan memuatnaik dan menyebar luas maklumat yang tepat dan sahih mengenai Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan dan pelbagai maklumat berkaitan yang disalurkan oleh Kerajaan,” ujar.

Namun begitu kata beliau, terdapat segelintir netizen yang tidak
bertanggungjawab menyebar maklumat palsu dan fitnah hingga
ada juga yang menghasut orang ramai untuk tidak
akur kepada peraturan dan nasihat yang diberikan.

Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan jelas beliau, sehingga 11 Jun, sebanyak 266 kertas siasatan telah dibuka oleh pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung berita palsu berkaitan Covid-19.

Sebanyak 30 kes telah didakwa di mahkamah, sebanyak 11 diberikan notis amaran dan sebanyak 18 telah mengaku bersalah.

“Dalam masa yang sama sebanyak 330 penafian dan penjelasan
mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai
oleh Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast