Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Penguatkuasaan terhadap pematuhan harga jualan runcit petrol dan diesel akan dibuat di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB).

Ini kerana menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi, AKB memperuntukkan hukuman lebih berat kepada syarikat minyak atau pengusaha stesen minyak yang melakukan kesalahan menjual pada harga melebihi paras ditetapkan.

“Di bawah AKB, setiap kesalahan dan hukuman penalti yang dikenakan adalah sehingga RM5 juta juga dengan lesen barang kawalan petrol dan diesel boleh dibatalkan atau digantung oleh mahkanah.

“Kadar penalti ini jauh lebih tinggi berbanding kadar penalti yang dikenakan melalui penguatkuasaan warta di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu sehingga RM1 juta sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Alexander, langkah itu adalah selaras dengan komitmen KPDNHEP untuk melindungi hak pengguna dan memastikan pematuha syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak ke atas harga jualan runcit petrol dan diesel yang ditetapkan kerajaan.

“Tindakan penguatkuasaan di bawah AKB dapat dijalankan dengan lebih berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, KPDNHEP juga katanya, ingin menegaskan, tiada perubahan dari segi dasar penetapan harga jualan runcit petroll dan diesel iaitu mengikut Auto Pricing Mechanism (APM).

Semalam, tular mengenai warta kerajaan yang menunjukkan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah dibatalkan.

Ini telah mengundang kemarahan netizen yang beranggapan harga siling petrol dan diesel juga telah dimansuhkan.

Bagaimanapun, Alexander yang ditemui pemberita petang semalam bagaimanapun menafikan perkara tersebut.- MalaysiaGazette