KUALA LUMPUR – Berita baik untuk para peniaga yang tidak dapat memperbaharui pendaftaran perniagaan semasa proses Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Anda tidak perlu bimbang atau khuatir akan berdepan sebarang tindakan denda atau kompaun selepas ini apabila mahu memperbaharui pendaftaraan perniagaan.
Ini kerana, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menawarkan pengecualian kompaun ke atas kelewatan pembaharuan pendaftaran perniagaan yang tamat tempoh bagi tempoh pada 17 Mac hingga 30 Jun 2020.
Menurut kenyataan SSM, pengecualian kompaun itu bertujuan untuk meringankan beban kewangan pemilik perniagaan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Pengecualian kompaun berkenaan akan memberi manfaat kepada 270,000 pemilik perniagaan yang memiliki perniagaan yang tamat tempoh semasa PKP dikuatkuasakan,” kata kenyataan itu.
Seksyen 12(1)(b) Akta Pendaftaran Perniagaan (APP) 1956 menetapkan bahawa adalah menjadi kesalahan apabila seseorang itu meneruskan sesuatu perniagaan selepas tamat tempoh pendaftaran dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Untuk maklumat lanjut, peniaga diminta menghubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau menerusi e-mel ke [email protected]. – MalaysiaGazette