KUALA LUMPUR – Hujah akhir pembelaan kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais dengan mayatnya ditemui dalam tong dram hari ini agak dramatik.
Ini kerana peguam pendakwa dan peguambela – masing-masing berhujah sambil memberikan contoh beberapa kes bunuh berprofil tinggi yang pernah berlaku di negara ini.
Antaranya, kes Haniff Basree yang dikaitkan dengan pembunuhan bekas eksekutif Noritta Samsudin, pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan juga Abdul Razak Baginda dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Jika sabit kesalahan enam lelaki yang dituduh terlibat dengan pembunuhan Kevin dibawah Seksyen 302 akan berhadapan dengan hukuman mati mandatori.
Enam tertuduh itu ialah pakar patologi Kolonel DrnR.Kunaseegaran, 57, pemberi pinjaman wang, S.Ravichandran, 49, serta empat penganggur iaitu R. Dinishwaran, 28; A.K Thinesh Kumar, 27; M.Vishwanath, 30; dan S. Nimalan, 27.
Mereka menghadapi membunuh Kevin ketika perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, di sini, ke nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya, antara pukul 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.
Bagaimanapun, Kunaseegaran yang diwakili oleh peguambela, Datuk N. Sivananthan ketika menyampaikan hujah memberitahu mahkamah adalah tidak adil untuk pendakwaan menuduh anak guamnya mempunyai motif dendam semata-mata tanpa bukti kukuh.
Malah kata Sivanathan, tertuduh sendiri pernah mengakuinya mendiang Kevin sebenarnya telah membantunya mengurangkan wang jaminannya ketika menghadapi kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.
“Saksi-saksi juga tidak pernah menyatakan apa-apa tentang anak guam ada menyimpan dendam. Pegawai penyiasat juga ada memberitahu perkara itu ketika perbicaraan.
“Keterangan SP54 bahawa reaksi tertuduh apabila memberitahu beliau tentang cecair seperti darah mengalir dari tong dram di kedai makan namun anak guam hanya tersenyum selain memberitahunya tidak perlu risau selain mahu membawanya berjalan-jalan tidak membuktikan beliau telah membunuh.
“Jika senyum bagaimana hendak kata seseorang itu telah melakukan pembunuhan itu? Memang tidak wajar jika ada yang telah mati tapi seseorang itu senyum tapi tidaklah sehingga membunuh.
“Juga tidak ada bukti yang menyatakan berlakunya sebarang urusan pemberian wang, tiada money trail atau transaksi juga.
“Langsung tidak bukti mencukupi yang boleh mengaitkan anak guam saya dengan tertuduh lain, jadi bagaimana hendak mengatakan anak guam saya telah membunuh. Tiada common intention dengan OKT 1 (Kunaseegaran) dengan OKT 2 hingga 7 juga,” hujahnya di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah hari ini.
Sementara itu, peguam yang mewakili kelima-lima tertuduh lain iaitu Dinishwaran, Thinesh Kumar, Vishwanath, Nimalan dan Ravi Chandaran pula berhujah mengatakan DNA yang ditemui pada wayar mengikat mendiang adalah milik orang lain.
“Ianya bukanlah milik lima tertuduh ini. Jangan lupa kes Haniff Basree di mana dia dilepaskan kerana mahkamah terpaksa melepaskan kerana kekurangan bukti pendakwaan dalam isu DNA,” ujarnya.
Manakala pasukan pendakwaan pula tetap bertegas bukti-bukti serta fakta perlu diteliti secara keseluruhan dan bukanlah sebaliknya.
Pasukan itu yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin dan Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, hakikat sebenarnya yang tidak sesekali disangkal ialah tertuduh-tertuduh itulah yang terakhir melihat Kevin hidup.
“Ada saksi yang memberi keterangan tentang bagaimana lima tertuduh ini masuk Kondominium Dutamas milik mendiang dengan kereta Triton.
“Malah Kunaseegaran juga tidak membantah bukti yang dituduh ke atasnya. Malah ketika memberitahu tentang ‘kemalangan’ Kevin, Kunaseegaran hanya tersenyum. Adakah itu satu kelakuan bagi manusia biasa?
“Kevin adalah Timbalan Pendakwa yang mendakwa kes rasuah dihadapi oleh tertuduh. Saya mohon hukuman kesemua mereka yang tertuduh ini dikaji secara keseluruhan dan dijatuhkan hukuman gantung,” kata Saiful Edris.
Nasib enam tertuduh ini akan diketahui pada 10 Julai hadapan selepas perbicaraan memakan masa hampir 5 tahun dengan memanggil 53 saksi pendakwaan manakala saksi pembelaan seramai 7 orang. –MalaysiaGazette