Rakaman gambar Mercy Cherono yang diseret oleh seorang anggota polis tular dilaman sosial.

NAIROBI – Tiga anggota polis Kenya telah ditangkap setelah salah seorang dari mereka menyeret seorang wanita berusia 21 tahun yang diikat pada motosikal selepas perbuatan itu dirakam dan ditularkan di media sosial.

Wanita itu didakwa terlibat dalam kejadian kecurian.

Manakala seorang anggota polis lain dikatakan telah meroton tertuduh selepas wanita itu merayu supaya mereka berhenti menyeretnya.

Orang ramai di sebuah bandar di daerah barat Nakuru terpaksa campur tangan dan wanita itu kini dirawat di hospital kerana patah kaki dan alami kecederaan lain.

“Saya tidak tahu bagaimana boleh selamat,” katanya Mercy Cherono selepas melihat rakaman satu setengah minit yang tular.

Kejadian itu berlaku di Olenguruone, sebuah bandar sekitar 250km (155 batu) di barat laut ibu kota, Nairobi.

Seluar panjang dan seluar dalamnya dijatuhkan hingga ke paras lutut ketika dia diseret motosikal  di sepanjang jalan bertanah.

“Saya memohon belas kasihan tetapi anggota polis itu tidak mendengar rintihan saya,” katanya.

Polis Kenya sering dituduh melakukan kekejaman.

Minggu lalu, badan pengawas polis mengatakan sekurang-kurangnya 15 orang telah dibunuh oleh polis antara waktu tengah malam hingga awal pagi di seluruh negara dengan bertujuan membendung penyebaran koronavirus.

Badan itu mendesak anggota polis yang terbabit ditangkap dan didakwa tetapi setakat ini belum ada tindakan dilakukan.

Seorang remaja, Yassin Moyo, 13, adalah antara yang terbunuh.

Jurucakap polis, Charles Owino memberitahu BBC tembakan itu dilepaskan secara tidak sengaja kerana mahu orang ramai bersurai.

Laporan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendokumentasikan keganasan polis dalam 182 komuniti, termasuk memukul, penggunaan peluru hidup dan gas pemedih mata, keganasan seksual dan kerosakan harta benda. – MalaysiaGazette