Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Rentetan kes positif Covid-19 yang dikesan pada tukang gunting rambut warga Pakistan di Setapak dan dikuarantin ke Hospital Sungai Buloh, tiada sebarang kluster berkaitannya dilaporkan setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan telah diambil ke atas tukang gunting rambut warga asing itu dan kesnya sedang disiasat oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kes berkenaan kita sudah ambil tindakan yang mana tukang gunting rambut disaring dan disahkan Covid-19 dan dimasukkan ke hospital untuk pemantauan dan dikuarantin.

“Manakala kita juga menyaring kesemua 40 kontak rapat yang dikenalpasti sebagai pelanggan yang mendapatkan khidmat tukang gunting rambut itu.

“Keputusan ujian saringan mereka belum diperoleh lagi masih pending dan mereka telah diarah kuarantin diri di rumah masing-masing dan kes masih disiasat serius,” katanya dalam sidang media situasi jangkitan Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Tambah Noor Hisham, ekoran kejadian itu pihaknya belum boleh membuat kesimpulan atau mengklasifikasikan mereka semua sebagai kluster.

Katanya, ini kerana setakat ini tiada kes kluster sebaliknya semua hanya disaring dan sedang menantikan keputusan ujian dan dikuarantin.

“Setakat ini kita tiada kluster, hanya satu kes positif (tukang gunting rambut) tapi kalau ramai yang disahkan positif menerusi keputusan ujian saringan, barulah kita mungkin ada satu kes kluster gunting rambut,” ujarnya.

Katanya, yang menjadi isu sekarang KKM sudah mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk industri gunting rambut tetapi berlaku ketidakpatuhan.

“Sebelum SOP dikeluarkan (wajib saring Covid-19) dia (tukang gunting rambut warga Pakistan) menjalankan aktiviti (gunting rambut) secara haram iaitu menjalankan aktiviti gunting rambut dari rumah ke rumah.

“Itulah yang membimbangkan kita tetapi sudah diambil tindakan dalam perkara itu,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast