Tony Fernandes

KUALA LUMPUR- AirAsia terpaksa mengerahkan kakitangannya daripada bahagian lain seperti kejuruteraan, juruterbang dan kru kabin untuk membantu bahagian khidmat pelanggan untuk menyelesaikan proses pemulangan semula wang kepada para penumpang syarikat tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, setiap hari proses pemulangan wang dijalankan namun tuntutan yang terlampau tinggi menyebabkan prosesnya mengambil masa yang panjang.

Panggilan yang diterima oleh bahagian khidmat pelanggan berhubung proses pemulangan semula wang juga meningkat setiap hari, katanya.

“Saya faham ramai yang kecewa dari segi pemulangan wang. Kami masih dalam proses memulangkan semula wang anda tetapi kakitangan kami sangat terbeban dengan tugas-tugas tersebut sehingga menyebabkan juruterbang, jurutera dan sebagainya terpaksa sama-sama menyingsing lengan untuk membantu bahagian khidmat pelanggan.

“Jumlah wang yang perlu dikembalikan juga adalah terlalu besar jadi kami perlu bekerjasama dengan banyak pihak seperti bank dan agensi pelancongan.

“Disebabkan itu, kami sangat menggalakkan pelanggan untuk memilih akaun kredit berbanding pemulangan tunai,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di Instagram beliau hari ini.

Tambah Tony, tempoh tiga bulan lalu adalah satu jangka masa yang sangat mencabar untuk AirAsia kerana mereka tidak merekodkan sebarang pendapatan akibat penggantungan penerbangan susulan penularan wabak Covid-19.

Disebabkan itu juga, AirAsia katanya terpaksa mengambil langkah pembuangan pekerja bagi mengurangkan beban kewangan syarikat.

“Bukan mudah untuk kami melepaskan pekerja-pekerja kami yang ada di antara mereka yang telah berkhidmat lama dengan AirAsia.

“Ini adalah sesuatu yang menyedihkan,” katanya.

Bagaimanapun menurut Tony, beliau menjangkakan keadaan akan menjadi lebih baik tidak lama lagi apabila kebanyakan negara Asia sudah mula membenarkan syarikat penerbangan beroperasi semula.- MalaysiaGazette