Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Nama pesakit seperti dinyatakan dalam laporan keputusan ujian negatif Covid-19 tiada dalam rekod berdaftar hospital dan makmal Covid-19.

Malah doktor yang didakwa membuat saringan tersebut tidak wujud atau bertugas di hospital seperti dinyatakan dalam dokumen palsu negatif Covid-19 yang dirampas polis daripada suspek.

Itu taktik terbaharu sindiket pemalsuan dokumen keputusan negatif ujian Covid-19 yang berjaya dibongkar dan ditumpaskan polis Kuala Lumpur dalam serbuan terbaharu Op Pemalsuan dokumen negatif ujian Covid-19 kali ini.

Operasi kali ini menyaksikan lima suspek lelaki warga Bangladesh yang disyaki bersubahat dan terlibat langsung dalam sindiket jenayah pemalsuan dokumen pemalsuan keputusan negatif ujian saringan Covid-19 di ibu negara berjaya ditangkap.

Kejayaan itu menyusul ekoran dua suspek lelaki warhga Bangladesh yang berjaya diberkas pada serbuan di Jalan Alor pada 6 Jun lalu selepas disyaki terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen mengeluarkan keputusan ujian saringan negatif Covid-19 khas untuk warga asing termasuk pekerja asing yang menetap di negara ini

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, susulan tangkapan tujuh hari lalu, pasukan polis pada pada 9 Jun berjaya menangkap lima orang suspek lelaki warganegara Bangladesh juga yang berusia dalam lingkungan 26 hingga 30 tahun di Jalan Tengkat Tong Shin di sini untuk siasatan lanjut.

“Kesemua suspek bekerja sebagai buruh binaan di sebuah syarikat pembinaan di ibu negara dan hasil pemeriksaan lanjut terhadap kesemua lima suspek polis berjaya membuat rampasan lima buah telefon bimbit pelbagai jenama dan satu salinan surat saringan Covid-19 yang bertulis Lablink Medical Laboratory.

“Selain itu, pada 9 Jun dan 10 Jun lalu, polis telah menerima tiga lagi laporan berhubung pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mazlan, dalam ketiga-tiga kes tersebut, pihak hospital dan makmal di sekitar Kuala Lumpur juga telah menerima panggilan dan e mel daripada majikan yang ingin mendapatkan pengesahan laporan keputusan ujian saringan Covid-19.

Namun begitu, malangnya apa yang mengejutkan adalah setelah semakan dibuat, pihak hospital dan makmal tersebut mendapati nama pesakit yang dinyatakan dalam laporan keputusan ujian saringan Covid-19 tersebut tidak dapat dikesan dalam rekod berdaftar hospital dan makmal.

“Lebih serius lagi doktor yang membuat saringan mendapati tidak bertugas di hospital dan makmal seperti yang dinyatakan dalam laporan keputusan ujian saringan Covid-19 palsu yang dirampas daripada suspek Bangladesh tersebut,” katanya.

Siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas kesemua suspek dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 468/471 Kanun Keseksaan (menggunakan dokumen palsu sebagai tulen) yang boleh dihukum penjara maksimum 7 tahun dan denda jika sabit kesalahan, Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

“Usaha mengesan suspek dan mereka yang terlibat dalam pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 ini sedang giat dijalankan oleh pihak Polis sehingga ke lubang cacing bagi memastikan tiada seorang pun terlepas daripada hukuman undang-undang,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Mazlan juga menjelaskan, pihaknya memandang serius isu pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyalahi undang-undang.

Tegasnya, sikap tidak bertanggungjawab dan hanya mengutamakan keuntungan sebegini membahayakan orang ramai dan menjejaskan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Selain itu, pihak majikan dinasihatkan supaya membuat semakan keputusan ujian saringan Covid-19 yang diserahkan oleh pekerja dengan pihak pengeluar laporan sebelum membuat sebarang keputusan untuk mengambil mereka bekerja,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau menghubungi mana–mana Balai Polis berdekatan dengan segera.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sindiket jual dokumen palsu ujian Covid-19 dibongkar, warga Bangladesh dicekup

1 Komen

Comments are closed.