Gambar hiasan

NEW YORK – Mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan merah pandemik global mungkin berjaya menghalang penyebaran puluhan ribu jangkitan koronavirus, demikian menurut kajian terbaharu berkaitan Covid-19.

Menurut kajian yang diterbitkan oleh Prosidengan Akademi Sains Kebangsaan Amerika Syarikat (PNAS), pemakaian pelitup muka adalah lebih penting bagi menghalang penularan virus Covid-19 berbanding penjarakan sosial dan perintah tinggal di rumah.

Menurut para penyelidik, trend jangkitan tersebut berubah secara ketara apabila peraturan pemakaian pelitup muka dilaksanakan pada 6 April lalu di utara Itali dan 17 April lalu di New York yang mana kedua-duanya merupakan kawasan paling teruk terjejas akibat krisis kesihatan global itu.

“Langkah perlindungan ini sahaja telah berjaya mengurangkan jumlah jangkita sebanyak lebih 78,000 di Itali bermula 6 April hingga 9 Mei dan lebih 66,000 di New York pada 17 April hingga 9 Mei,” kata penyelidik-penyelidik berkenaan.

Sejak perintah pemakaian pelitup muka dilaksanakan di New York, jumlah jangkitan harian jatuh kira-kira tiga peratus setiap hari meskipun jumlah jangkitan di kawasan lain di AS meningkat setiap hari.

Tambahnya, perintah penjarakan sosial, kuarantin dan penggunaan hand sanitizer telah dilaksanakan lebih awal berbanding pemakaian pelitup muka di New York dan Itali.- MalaysiaGazette