Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka meneruskan mod pembetulan dengan mencatatkan dagangan pada kecenderungan menurun minggu depan.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pembetulan FBM KLCI sememangnya dijangkakan memandangkan peningkatan harga perolehan agak berlanjutan serta tinggi, manakala paras indeks bergerak dalam lingkungan terlebih beli.

Beliau berkata, Bursa Malaysia mengalami banyak pembetulan minggu ini selepas lantunan ketara pada beberapa minggu lepas.

“Paras rintangan dan sokongan masing-masing pada 1,580 dan 1,510 mata. Purata Pergerakan 200 hari pada 1,516 mata.

“Justeru, risiko penurunan FBM KLCI cukup jelas bagi jangka terdekat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Bank Islam masih mengekalkan sasaran akhir tahun pada 1,500 mata, dan yakin pembetulan itu diperlukan untuk mencerminkan asas-asasnya.

Secara keseluruhan, minggu yang baru berakhir ini juga menyaksikan pergerakan Bursa Malaysia kebanyakannya menjejaki aliran bursa serantau selain mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street.

Mohd Afzanizam berkata keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) baru-baru ini untuk mengekalkan kadar faedah stabil sehingga 2022 menunjukkan betapa jelasnya ketidaktentuan ekonomi dan mempengaruhi sentimen pasaran.

“Pendirian FOMC tersebut menunjukkan tahap ketidaktenuan ekonomi yang cukup besar. Pada ketika ini, tiada vaksin, oleh yang demikian risiko kembali merekodkan jangkitan baharu COVID-19 sentiasa menjadi satu kemungkinan,” katanya.

Sementara itu, peniaga berkata langkah yang diumumkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) telah memberi sedikit dorongan kepada pasaran awal minggu ini.

Bagaimanapun, unjuran Rizab Persekutuan AS mengenai prospek ekonomi yang lembap, ditambah dengan kebimbangan baru terhadap gelombang kedua COVID-19 susulan meningkatnya jumlah kes baharu, akan terus melemahkan pertumbuhan global, mengkhuatirkan dan merendahkan optimisme pasaran.

Selain itu, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia baru-baru ini, yang mencatatkan paras terendah sepanjang masa iaitu 32 peratus pada April, juga menimbulkan kegelisahan dalam pasaran tempatan, katanya.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, indeks utama Bursa Malaysia susut 10.31 mata untuk ditutup pada 1,546.02.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 61.63 mata kepada 10,869.15, Indeks FBMT 100 susut 60.47 mata kepada 10,731.77 manakala Indeks FBM Emas Syariah meningkat 10.09 mata kepada 12,317.19.

FBM 70 kurang 26.69 mata kepada 13,362.15 dan Indeks FBM ACE menguncup 23.86 mata kepada 5,828.67.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.53 mata kepada 139.58, Indeks Perladangan susut 0.98 mata kepada 6,786.04 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 315.82 mata kepada 13,410.2.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 33.89 bilion unit bernilai RM21.59 bilion daripada 46.04 bilion unit bernilai RM32.19 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 19.83 bilion saham bernilai RM17.82 bilion daripada 26.91 bilion saham bernilai RM16.95 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran sebanyak 2.76 bilion unit bernilai RM728.97 juta berbanding 3.22 bilion unit bernilai RM885.64 juta.

Jumlah dagangan ACE turun kepada 11.30 bilion saham bernilai RM3.04 bilion daripada 15.89 bilion saham bernilai RM5.66 bilion minggu lepas. – MalaysiaGazette