KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan sebanyak 633 notis kepada pemilik kedai gunting dan dandanan rambut sepanjang pelaksanaan Ops Catut 7.0 yang bermula 10 Jun lepas.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, notis itu dikeluarkan bagi mendapatkan penjelasan dan maklum balas daripada pemilik kedai gunting dan dandanan rambut berkenaan kenaikan caj perkhidmatan gunting rambut dan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang berbeza-beza di premis terlibat.
Beliau berkata, pengusaha atau pemilik kedai terbabit diberi masa antara tiga hingga lima hari untuk memberi penjelasan atau maklumat bagi hal berkaitan dan sekiranya gagal, mereka akan dikenakan kompaun mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
“Setakat ini kita telah jalankan pemeriksaan di 369 premis seluruh negara dan rata-ratanya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Bagaimanapun kita terpaksa mengeluarkan notis kepada pemilik premis yang didapati mengenakan caj harga yang berbeza-beza dan tidak munasabah,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan harga dan bekalan barangan di Pasar Raya Pacific di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) hari ini.
Sebelum itu beliau yang diiringi Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia melakukan lawatan ke kedai gunting rambut Mat Barber Shop Premium di sini bagi melihat pematuhan harga dan SOP dalam tempoh PKPP.
Dalam pada itu Rosol turut menasihati pengguna supaya merujuk harga barangan di aplikasi ‘Price Catcher’ yang dibangunkan oleh KPDNHEP sebelum membuat pembelian terutama barangan kawalan.
Ia susulan terdapat laporan kenaikan harga ayam yang mendadak sehingga mencapai RM10 sekilogram di beberapa pasar basah dalam tempoh PKPP.
“Sebelum buat pembelian, kita boleh guna aplikasi ‘Price Catcher’ sebagai rujukan atau ‘tanda aras’ bagi mengelak membeli pada harga yang terlampau tinggi dan tidak munasabah.
Jika kita lihat di aplikasi tersebut, harga ayam di pasar raya seperti Pasar Raya Besar Mydin, Giant dan Pacific adalah antara RM7.50 sekilogram dan ia adalah tidak melebihi harga kawalan ditetapkan,” katanya yang meminta supaya pengguna membuat pilihan bijak dalam menentukan pembelian.
Bagaimanapun Rosol berkata, pihaknya tetap akan menjalankan pemeriksaan di pasar-pasar basah bagi melihat sekiranya terdapat kenaikan ayam secara mendadak seperti didakwa.
“Setakat ini kita belum menerima laporan atau aduan secara rasmi, berhubung kenaikan berkenaan, tetapi pemantauan akan dipertingkatkan bagi mengelak peniaga mengaut keuntungan berlebihan sehingga menganiaya pengguna,” katanya. – Bernama