Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka kekal pada paras semasa, 4.25 hingga 4.27 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan prestasi mata wang tempatan amat berkait dengan harga minyak mentah, kata penganalisis.

Ketua Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes berkata, ini kerana penanda aras minyak mentah global dijangka berada pada harga di antara AS$36 dengan AS$40 setong.

Beliau berkata, bagaimanapun kebimbangan melampau terhadap COVID-19 di AS serta data mungkin kembali normal minggu depan, maka itu dijangka menyokong harga minyak mentah sekali gus memberi kelebihan kepada ringgit.

“Namun, keseluruhan pasaran minyak mentah, yang ketika ini di bawah US$40 setong, kekal lemah disebabkan penawaran tergantung selain pemulihan permintaan bersifat tidak menentu di AS.

“Selain itu terdapat dua keadaan yang menjejaskan lagi prestasi ringgit iaitu apabila Rizab Persekutuan AS (Fed) jelas terbuka untuk mata wang mereka bergerak lebih rendah di samping peningkatan semula kes positif COVID-19 di negara tersebut telah membimbangkan pasaran mata wang, yang mempengaruhi (ringgit),” katanya kepada Bernama.

Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya telah mencapai sasaran pengurangan pengeluaran pada Mei, namun pematuhan dan penguatkuasaannya bagi tempoh akan datang masih belum pasti.

Keadaan itu akan menyebabkan harga minyak mentah mengalami aliran turun naik.

Sebagai rekod, OPEC dan sekutunya sebelum ini telah memulakan rejim pengurangan pengeluaran minyak terlaras yang terbesar dalam sejarah pada Mei dengan 9.7 juta tong sehari.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit agak tidak menentu pada minggu ini susulan pembetulan teknikal setelah meningkat ketara di samping pemulihan mendadak dalam pasaran ekuiti.

“Unjuran Fed terbaru menunjukkan kadar faedah AS mungkin kekal menghampiri sifar hingga 2022. Justeru, wujud ketidaktentuan ekonomi yang besar yang boleh merencatkan pemulihan ekonomi.

“Dalam keadaan ketiadaan vaksin, kemungkinan kembali mengalami jangkitan baharu COVID-19 sentiasa ada dan boleh menimbulkan ketidakstabilan pasaran dan sentimen perniagaan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata pembetulan harga aset berisiko menunjukkan pelabur menilai semula ketahanan pemulihan/pembukaan semula ekonomi.

Dari sudut teknikal, ringgit berbanding dolar AS dilihat berada pada kedudukan terlebih beli dan keadaan itu semakin meningkat pada masa ini.

“Pada ketika ini, paras rintangan dan sokongan masing-masing pada RM4.2972 dan RM4.2502. Oleh itu, ringgit diunjurkan kekal lemah dalam jangka terdekat,” katanya.

Sepanjang minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding dolar AS, di antara 4.2430 dengan 4.2720.

Berasaskan mingguan, ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS kepada 4.2650/2700 daripada 4.2640/2700 yang dicatatkan minggu lepas.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0706/0753 daripada 3.0604/0658 namun meningkat berbanding euro kepada 4.8280/8353 daripada 4.8328/8409.

Ringgit susut berbanding yen kepada 3.9663/9717 daripada 3.9019/9085 ketika ditutup minggu lepas serta rendah berbanding pound Britain kepada 5.3944/3024 daripada 5.3859/3947. – MalaysiaGazette