KUAH – Badan sukarelawan, TGC Langkawi dengan kerjasama sebuah restoran di Jalan Pantai Cenang di sini giat mengedarkan pek makanan percuma kepada golongan yang terjejas akibat penularan Covid-19.
Kira-kira 200 bungkusan makanan diagihkan setiap hari kepada pekerja sektor pelancongan yang terjejas pendapatan, penduduk sekitar termasuk pelancong asing yang terkandas.
Penyelaras TGC Langkawi, Muhammad Alif Aiman Azman berkata, projek ‘Beli Makan Bagi Makan Langkawi’ mula digerakkan pada 1 Mei lalu dan sejak itu orang ramai tidak henti-henti datang untuk mengambil pek makanan percuma.
“Pulau Langkawi merupakan antara destinasi pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19 dan selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac, kebanyakan individu yang berada dalam industri pelancongan seperti pekerja hotel, pekerja sambilan agensi pelancongan, ‘beach boy’ serta pelancong ‘backpackers’ telah terputus sumber pendapatan dan kehabisan wang.
“Jadi bagi meringankan masalah yang mereka hadapi, kami di TGC Langkawi bersama Restoran Telaga Seafood menyediakan sekitar 200 pek bungkusan untuk diedarkan setiap hari pada pukul 5.30 petang,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini.
Jelas Muhammad Alif, pada peringkat awal projek tersebut menggunakan dana sendiri selain kutipan daripada rakan serta ahli keluarga.
Namun kini mereka turut menerima sumbangan daripada pelbagai pihak dan dalam masa sama amat mengalu-alukan orang awam yang ingin turut serta menderma.
Sesi pengagihan makanan itu turut disertai oleh seorang sukarelawan, Peggy Schmidt yang berasal dari Jerman dan berada di pulau peranginan tersebut sejak tiga bulan lalu.
“Pada mulanya saya datang ke Malaysia untuk bercuti, tanpa sengaja saya jatuh cinta dengan suasana dan kecantikan Langkawi sebelum mengambil keputusan untuk terus tinggal di sini.
“Kebetulan saya melalui restoran ini dan lihat mereka menjalankan kerja amal sebelum menawarkan diri untuk turut sama menghulurkan bantuan,” ujarnya. – MalaysiaGazette