Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Meskipun kerajaan sudah meluluskan sebanyak RM341.9 juta di bawah Skim Kredit Mikro namun masih banyak rungutan diterima daripada peniaga-peniaga kecil yang permohonan mereka masih dalam proses.

Disebabkan proses yang begitu lama, ada peniaga yang terpaksa meminjam daripada peminjam tidak berlesen.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Nasir berkata, beliau sudah menyemak melalui sumber tidak rasmi dan meneliti pengumuman-pengumuman yang dibuat oleh kerajaan bagi memahami apa yang sebenarnya berlaku di peringkat pelaksanaan.

Pertama, katanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan sebanyak RM500 juta peruntukan kepada Skim Kredit Mikro yang diseliakan oleh BSN manakala RM200 juta kepada TEKUN Nasional pada 6 April 2020.

Ini bermakna, selepas dua bulan pelaksanaan bagi Skim Kredit Mikro BSN, hanya 38.2% daripada RM500 juta peruntukan yang disediakan telah diluluskan manakala sebanyak 75.5% peruntukan TEKUN Nasional telah diluluskan kepada pemohon.

“Mengapa proses kelulusan Skim Kredit Mikro BSN iatu pada kadar 38.2% begitu perlahan walaupun dibandingkan dengan TEKUN Nasional? Adakah kerajaan mengambil maklum mengenai kelemahan ini?, soalnya.

Kedua, berdasarkan Piagam BSN Micro (FAQ), keputusan permohonan adalah dalam masa enam hari bekerja bermula sehari selepas penerimaan borang dan dokumentasi yang lengkap.

Akmal Nasrullah Nasir
Akmal Nasrullah Nasir

”Namun, pengadu yang datang ke pejabat saya memaklumkan permohonan telah dibuat sejak bulan April namun langsung tidak tahu status permohonan beliau.

”Apabila saya semak melalui sumber tidak rasmi, BSN mengesahkan telah menerima permohonan hampir dua bulan namun sehingga kini masih diperingkat pemprosesan,” katanya.

Akmal turut bertanya daripada jumlah RM190.9 juta yang diluluskan kepada 5,222 PKS, berapa banyak yang sebenarnya telah disalurkan kepada peniaga kecil dan adakah kelulusan bermakna pemohon telah menerima pembiayaan tersebut atau masih terpaksa menunggu.

“Kekhuatiran saya, kebanyakan PKS tidak mempunyai kekuatan aliran tunai dan kelewatan penyaluran pembiayaan menyebabkan peniaga-peniaga kecil tidak mampu kos operasi dalam keadaan kegiatan ekonomi belum pulih sepenuhnya.

”Keempat, berdasarkan maklumat yang saya peroleh, di negeri Johor Sahaja terdapat hampir 13,000 permohonan yang masih diproses.

”Berapakah sebenarnya permohonan Skim Mikro Kredit yang diterima sebelum skim ini ditutup secara tiba-tiba pada 22 Mei 2020?,” soal beliau lagi.

Tambahnya, memandangkan pembiayaan maksimum dibawah skim ini adalah sebanyak RM75,000, dijangkakan hanya 10,000 PKS yang layak menerima sekiranya purata pembiayaan adalah sebanyak RM50,000.

Persoalannya, apakah yang akan berlaku kepada ribuan PKS yang permohonannya gagal, tanya beliau lagi.

Akmal mendakwa aduan yang sama turut dibuat dalam kalangan majikan mengenai Skim Subsidi Upah.

”Walaupun diuar-uar sebanyak RM4 bilion telah diluluskan, berapa ramai yang masih diproses dan daripada yang diluluskan berapa banyak peruntukan yang sebenarnya telah disalurkan kepada majikan untuk manfaat pekerja?, ujarnya yang memohon kerajaan lebih telus mengenai status Skim Pinjaman Mikro Kredit dan juga skim-skim lain di bawah i Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara. – MalaysiaGazette