Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan diminta supaya menangguhkan dahulu sebarang usaha atau cadangan untuk melaksanakan sistem syif di semua Klinik Kesihatan di seluruh negara sehingga satu sesi perbincangan dengan pihak kesatuan serta pihak yang berkepentingan diadakan terlebih dahulu.

Permintaan itu dibuat Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) selepas pihaknya menerima laporan bahawa KKM ketika ini sedang dan telah melaksanakan survei kepada staf kesihatan untuk melaksanakan sistem syif pagi dan petang yang bermula pukul 8 pagi hingga 10 malam.

“Alasan utama yang dinyatakan mengapa sistem syif ini mahu dilaksanakan adalah bagi memastikan penjarakan sosial terjaga dalam kalangan orang awam yang mendapatkan perkhidmatan di Klinik Kesihatan serta tidak mahu berlaku kesesakan.

“Sebenarnya lebih banyak cara lain boleh dikaji dan dilaksanakan bagi memastikan penjarakan sosial dan kesesakan di Klinik Kesihatan tetapi bukan dengan pelaksanaan sistem dua syif yang dikhuatiri boleh menimbulkan lebih banyak masalah di kemudian hari,’ kata Presidennya Adnan Mat dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, untuk makluman waktu operasi Klinik Kesihatan yang sedia ada iaitu 7.30 pagi hingga 5 petang dan dilanjutkan sehingga 9.30 malam sebagai ‘extended hours’ sudah hampir menyamai dengan hasrat KKM yang mahu penjarakan sosial dilaksanakan di klinik.

Adnan juga berpendapat KKM masih tidak mempunyai keupayaan untuk melaksanakan sistem syif di Klinik Kesihatan memandangkan jumlah staf di fasiliti kesihatan awam masih tidak mencukupi.

Bahkan staf yang sedia di kebanyakan Klinik Kesihatan masih tidak mencukupi untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang awam, malahan tenaga kerja di Klinik Kesihatan di seluruh negara ketika ini hanya cukup-cukup sahaja.

Adnan dalam perkara sama mempersoalkan bagaimana Klinik Kesihatan ini akan dapat berfungsi dengan baik dengan dengan tenaga kerja yang cukup-cukup dan perlu dibahagikan kepada dua syif.

Keluh beliau, perkara ini belum mengambil kira staf yang perlu bercuti rehat atau cuti sakit

“Cuba bayangkan apabila staf pada hari biasa dengan kekuatan 10 orang jururawat, 5 petugas makmal, 6 doktor dan 4 petugas farmasi dibahagikan kepada dua syif.

“Walaupun cadangan sistem syif ini baik untuk rakyat, tetapi ia sukar dilaksanakan kerana kekangan sumber terutama melibatkan staf yang tidak cukup serta sistem yang masih lagi menyedihkan di majoriti Klinik Kesihatan.

“CUEPACS bimbang sekiranya ia dilaksanakan dalam keadaan terburu-buru akan menimbulkan masalah di kemudian hari dan pada akhirnya yang menjadi mangsa adalah penjawat awam dan rakyat yang mahu mendapatkan perkhidmatan terbaik sehingga mengakibatkan staf kesihatan tertekan, manakala rakyat tidak lagi menerima perkhidmatan yang baik.

“Akhirnya yang dipersalahkan adalah penjawat awam itu sendiri apatah lagi dapatan daripada Cuepacs menunjukkan hampir kesemua pesakit memilih untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan sebelum pukul 5 petang berikutan kemudahan pengangkutan yang lebih mudah,” ujarnya.

Oleh demikian beliau mahu segala usaha ke arah pelaksanaan dua syif perlu ditangguhkan segera sehingga satu pertemuan antara semua pemain industri itu dijalankan dan dicapai satu kata sepakat tentang sebarang cadangan.

“Adalah penting KKM untuk mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan seperti pihak kesatuan dan kakitangan sebelum melaksanakan apa jua cadangan.

“Input yang diterima daripada pihak pekerja dan kesatuan perlu diberi perhatian dan tidak ditolak dengan mentah-mentah,” tegasnya.-MalaysiaGazette