Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) memberi kelonggaran kepada para pelajarnya yang terkesan dengan musibah banjir.- Gambar hiasan.

Oleh PROF. MADYA DR. MAIZATUN MUSTAFA                                          [email protected]

INSTITUSI pengajian tinggi merupakan salah satu sektor yang masih terjejas akibat dari kesan wabak COVID-19. Semenjak dari fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini, kesemua institusi pendidikan, termasuk di peringkat universiti telah diarah untuk ditutup sebagai langkah membendung wabak ini dari merebak.

Sebelum krisis COVID-19 melanda, sebahagian besar pengajaran dan pembelajaran di universiti adalah berasaskan pendidikan dalam kampus yang memerlukan kehadiran fizikal pelajar dan tenaga pengajar. Pendekatan tradisional ini membolehkan hubungan pelajar dan pendidik berlaku secara langsung di mana pelbagai aktiviti dan eksperimen dapat dijalankan secara praktikal.

Namun, kesan luar jangkaan COVID-19 telah menyebabkan kelas secara bersemuka telah terhapus secara menyeluruh. Sementarta itu, arahan telah dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi yang mengumumkan bahawa semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran di institusi pengajian tinggi hendaklah dilaksanakan dalam talian sehingga 31 Disember 2020, kecuali bagi beberapa kategori tertentu. Ini bermakna, sehingga hujung tahun ini, beribu-ribu pelajar, dari semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta perlu beralih ke platfom pendidikan maya sebagai alternatif.

Universiti menyahut cabaran dengan mengambil langkah segera untuk melakukan adaptasi pembelajaran melalui kaedah digital. Untuk itu, pelbagai aplikasi digunakan sebagai medium penyampaian dan interaksi seperti portal Zoom, Facebook dan Google Classroom.

Bagi tujuan yang sama, universiti turut memperkasakan Sistem Pengurusan Pembelajaran atau “Learning Management System” (LMS) yang menyediakan akses kepada perkhidmatan pembelajaran atas talian untuk pelajar dan pendidik. Pembelajaran berasaskan teknologi ini mempunyai kelebihan yang tertentu. Di antaranya ialah pengajian boleh dilakukan secara lebih efektif kerana melalui internet, kelas boleh diakses di mana sahaja dan pada bila-bila masa, selain dari penyaluran maklumat dari pelbagai sumber.

Pada peringkat awal perlaksanaan e-pembelajaran, universiti berhadapan dengan beberapa cabaran seperti masalah penyesuaian, isu teknikal dan kekangan teknologi. Penyelesaian yang diambil universiti terhadap cabaran ini adalah berpandukan falsafah pendidikan yang berteraskan kesaksamaan melalui pendekatan yang bersifat empati dan prihatin demi memastikan tidak ada pelajar yang tertinggal.

Oleh yang demikian, kaedah digital yang digunapakai adalah yang tidak membebankan dari segi penggunaan data atau kekuatan jalur lebar. Pemilihan kaedah  sedemikian  juga penting demi memastikan agar pedagogi pengajaran serta penilaian formatif dan sumatif, dapat disampaikan tanpa gangguan kepada semua pelajar, termasuk yang tinggal di kawasan terpencil.

Universiti di Malaysia sentiasa menyumbang ke arah kesejahteraan melalui penyelidikan dan inovasi, dan menjadi pendukung kepada aspirasi pendidikan negara. Buat masa ini universiti sudah menonjol sebagai sektor yang dinamik dan berjaya menghadapi cabaran jangka pendek secara proaktif. Akan tetapi, institusi ini perlu berpandangan jauh dan mempunyai perancangan jangka panjang pasca COVID-19. Yang utama ialah merencanakan semula strategi pelajaran dan pembelajaran, selain dari menimbang kembali pendekatan bersemuka yang selama ini menjadi asas utama pembentukan sahsiah pelajar dan transisi kerjaya.

Selain itu, universiti juga perlu menggunakan perkembangan e-pembelajaran sebagai peluang untuk menawarkan pengajian tanpa sempadan, dan tidak terikat dengan sistem tradisional. Kemungkinan besar, universiti yang segera beradaptasi akan lebih mampu bersaing sebagai penjana pengetahuan intelektual, dan pembangunan modal insan di peringkat global.

Dalam mendepani normal baharu, kecemerlangan sesebuah universiti tidak boleh lagi diukur hanya melalui konteks eksklusif yang terhad kepada penerbitan, anugerah dan kedudukan sahaja, Kecemerlangan kini harus dinilai melalui kemampuan universiti untuk menyesuaikan diri dengan situasi baharu, dan kekuatannya dalam mengatasi cabaran luar jangkaan.

— PROF. MADYA DR. MAIZATUN MUSTAFA pensyarah Kuliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast