KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini ekoran penularan Covid-19.
Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, perkara utama yang dipastikan pihaknya adalah pemakaian pelitup muka separuh, penggunaan pensanitasi tangan dan proses saringan suhu badan.
“SOP ini akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses pilihan raya iaitu takliat petugas, proses penamaan calon, proses cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan kertas undi pos, semakan isi peti undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azhar, proses penyerahan borang kertas penamaan akan dijalankan seperti sebelum ini namun semua calon tidak lagi dibenarkan berarak bersama penyokong masing-masing atau mengadakan sebarang aktiviti berkumpulan.
“Hanya calon, seorang pencadang dan seorang penyokong calon sahaja dibenarkan memasuki pusat penamaan calon,” tegasnya.
Bagi tempoh berkempen, calon atau parti hanya dibenarkan membuka satu bilik gerakan utama dan tida bilik gerakan kecil dibenarkan.
Selain itu tiada ceramah dan aktiviti ziarah rumah ke rumah dibenarkan selain mengalakkan calon berkempen menerusi platform media sosial.
Pada hari mengundi, pengundi diwajibkan memakai pelitup muka separuh, menggunakan pensanitasi tangan dan proses saringan suhu.
“Pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau pegawai kesihatan,” ujarnya sambil menambah pihaknya akan menambahbaik SOP dari masa kesemasa.- MalaysiaGazette