DENGKIL – Sebanyak 883 daripada 951 Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah dibuka semula ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), setiap TASKA di rumah diberikan bantuan geran ‘one-off’ sebanyak RM1,500 TASKA untuk membuat disinfeksi, membeli peralatan penyukat suhu badan, bahan sanitasi dan pelitup muka.
Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun menyeru pengusaha TASKA dan warga Malaysia berusia 18 tahun menyertai Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak (KAP) yang ditawarkan PENJANA dengan peruntukan sebanyak RM900 seorang.
“Dalam keadaan sekarang, ramai yang terjejas dan hilang pekerjaan dan tawarab itu terbuka kepada rakyat Malaysia.
”Mereka yang berminat untuk menjadi pengasuh kanak-kanak boleh datang atau pergi ke laman web JKM dan boleh mendaftar di situ,” katanya.
Menerusi tinjauan yang dilakukan di sebuah Taska di sini, Rina puas hati dengan pengusaha premis itu yang mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
“Daripada pemantauan yang dilakukan oleh JKM di Taska institusi dan di rumah, sebanyak 387 Taska di rumah mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette