KUALA LUMPUR – Kerajaan bawah Pejabat Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) membelanjakan lebih RM190 juta dalam tempoh dua bulan ini untuk membantu golongan miskin meneruskan kehidupan dalam saat genting berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menterinya, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamed Al-Bakri berkata, bantuan itu selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tidak ada “yang mati kelaparan, tidak ada makan dan minum” sepanjang penularan wabak Covid-19.
“Kita didapati jumlah pengangguran di negara ini semakin meningkat yang dipengaruhi impak negatif PKP ke atas pasaran buruh.
“Justeru, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut membantu kerajaan mengurangkan kadar itu dengan membelanjakan duit lebih RM190 juta, yang hanya tidak sampai dua bulan.
“Usaha kita turut serta membantu ini telah terbukti, dan bukan sekadar itu, agensi agama di peringkat nasional dan negeri juga telah memberi kerjasama yang baik.
“Contohnya, bawah agensi saya, iaitu Jakim, Pusat Pungutan Zakat, Yapeim, Yayasan Wakaf, Jauhar dan MAIWP membantu dengan memperkenalkan pelbagai skim,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pelaksanaan Diploma Syariah Islamiyah antara MAIWP dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur KPBKL) dengan Pondok Moden Al-Abaqirah (PMA) di ibupejabat MAIWP di sini, hari ini.
MoU itu ditandatangani Rektor KPBKL, Datuk Dr. Noor Inayah Yaakub dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIWP, Datuk Akbar Samon; dan MoU PMA dengan Wakaf Integrated Holistic Education System (IHEP) yang diketuai Pengerusi Eksekutifnya, Prof Dr. Hasni Mohamed.
Mei lalu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin dilaporkan berkata, kadar pengangguran pada Mac 2020 meningkat kepada 3.9 peratus, tertinggi sejak Jun 2010 iaitu 3.6 peratus.
Manakala, bilangan tenaga buruh pada Mac 2020 turun 0.2 peratus kepada 15.84 juta orang berbanding Februari 2020.
Menurut Dr. Zulkifli, sepanjang Ramadan lalu, MAIWP dengan Kerjasama Bank Islam dan diurusetiakan Bank Negara Malaysia (BNM) telah memudahkan usaha kerajaan menubuhkan skim i-Tekad.
Kata beliau, skim itu bertujuan untuk memberi pengetahuan dan bantuan seupaya mungkin oleh kerajaan kepada golongan sasar dan program berkenaan berjalan dengan lancar.
“Kita juga akan tubuh dan beri bantuan bukan sekadar one-off, tetapi membolehkan mereka meneruskan kehidupan, menjadi bantuan itu sebagai sumber pendapatan,” katanya yang akan melaksanakan program berkenaan dengan Kerjasama Majlils Agama Islam Negeri. – MalaysiaGazette.