Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Laku macam goreng pisang panas – itulah yang dapat digambarkan pada hari pertama pengenalan dan penjualan pas perjalanan tanpa had My30 di ibu negara semalam.

Orang ramai beratur seawal jam 6 pagi di kaunter khidmat pelanggan Rapid KL bagi melanggan pakej berkenaan.

“Pada hari pertama pengenalan My30 semalam, sebanyak 21,403 pas perjalanan My30 telah dijual. Kami menjangkakan bilangan ini akan terus meningkat dari hari ke hari,” kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi), Muhammad Nizam Alias dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, para pelanggan harian pasti tertarik dengan meraih lebih penjimatan menerusi pakej jimat itu yang dijangka turut mampu menarik minat pengguna baharu khususnya yang belum pernah menggunakan pengangkutan awam sebagai mod utama ke tempat kerja.

Katanya, pengenalan pakej MY30 membuktikan kerajaan prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Tambah Muhammad Nizam, inisiatif itu juga diharap akan dapat membantu melonjak kembali jumlah pengguna pengangkutan awam seliaan Prasarana.

“Daripada 2,209 percakapan mengenai MY30 di jaringan media sosial, lebih 80 peratus komen yang diterima adalah sangat positif dan kami amat berterima kasih kepada semua pengguna yang mendokong kami selama ini.

“Pakej ini terbuka kepada semua warganegara yang menggunakan perkhidmatan rel dan bas seliaan Prasarana di Lembah Klang sahaja. Menerusi pakej ini pengguna hanya bayar RM1 sehari untuk menggunakan perkhidmatan awam secara tanpa had,” kata Muhammad Nizam lagi.

Pengguna yang belum melanggan pakej My30 boleh berbuat demikian di semua 122 buah stesen LRT, MRT, Monorel, BRT dan juga 5 hab bas Rapid KL di Pasar Seni; Seksyen 2, Shah Alam; Greenwood; Terminal Kajang dan Sri Nilam dengan menggunakan MyKad dan MyTentera masing-masing.

Rata-rata pengguna, katanya, teruja dan berterima kasih kepada kerajaan yang memperkenalkan pakej My30 bagi membantu mengurangkan beban rakyat, khususnya yang terjejas dengan wabak pendemik Covid-19.

Untuk maklumat lanjut, pengguna Rapil KL atau Rapil Rail boleh menghubungi Mohd Sofian Hilmi dari Unit Hal Ehwal Media Kumpulan Prasarana melalui whatsapp 019-4601110 atau email [email protected] – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast