KUALA LUMPUR – Malaysia kekal berdaya saing meskipun berdepan pandemik COVID-19 dan berkembang maju sebagai satu daripada negara pembuatan utama global menerusi penggunaan teknologi Industri 4.0, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia  (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Azman Mahmud, berkata struktur ekonomi negara yang pelbagai dan sokongan berterusan daripada kerajaan dalam mengimbangi kesihatan dan mata pencarian rakyat, menyokong momentum pertumbuhan kapasiti perindustrian Malaysia.

“Bagi mengekalkan kelebihan daya saing kita, keperluan untuk mentransformasikan ekonomi Malaysia menerusi pemerkasaan digital bukan lagi merupakan satu pilihan. Pendigitalan penting kepada ketahanan perniagaan kita pada masa depan,” katanya pada sesi webinar yang dihoskan oleh SEMI Southeast Asia, baru-baru ini.

SEMI Southeast Asia adalah organisasi yang mewakili perniagaan reka bentuk dan pembuatan elektronik.

Bagi mencapai matlamat ini, MIDA telah mengambil langkah proaktif untuk menerapkan inisiatif inovatif dengan memperkenalkan Malaysia’s Lighthouse Project, satu konsep syarikat pemodelan yang telah menerapkan pembuatan digital dan globalisasi 4.0 dalam model perniagaan dan keseluruhan rantaian bekalan mereka.

Syarikat-syarikat, kata Azman, perlu mengambil peluang untuk memanfaatkan asas kukuh Malaysia yang termasuk ekosistem prasarana dan perniagaan elektrik dan elektronik (E&E) yang dibangunkan sejak 50 tahun lepas.

Sementara itu, Presiden SEMI Southeast Asia Bee Bee Ng berkata, landskap E&E Malaysia dijangka terus kukuh pada bulan-bulan yang akan datang.

Landskap E&E di Malaysia akan disokong oleh peluang besar yang ditawarkan industri terutamanya dengan peningkatan trend bekerja dari rumah, pembelajaran maya dan e-dagang, katanya.

“Kami menjangkakan landskap E&E di Malaysia stabil dalam bulan-bulan akan datang, disokong oleh permintaan terhadap keupayaan pembuatan pintar, automasi dan inovasu teknologi.

“Menjadikan SEMICON Southeast Asia 2020 sebagai platform maya merupakan sebahagian daripada komitmen kami kepada kesihatan dan keselamatan ahli-ahli kami, pempamer, pengunjung dan kakitangan kami,” kata Ng semasa webinar itu.

Beliau berkata, pasaran semikonduktor global menunjukkan petanda awal daya tahan berdepan dengan kegawatan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Sebahagian daripada kekuatan ini, katanya, datang daripada ciri-ciri industri itu sendiri yang memainkan peranan dalam mengembangkan sektor penting lain seperti penjagaan kesihatan, automotif dan runcit.

Ng berkata, walaupun semasa tempoh sukar yang belum pernah terjadi sebelum ini, menghubungkan pemain industri, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus menjadi agenda penting, ketika mereka menumpukan untuk terus menjadi kreatif dan menyesuaikan diri dengan keadaan semasa bagi berdepan landskap ini.

SEMI Southeast Asia akan menganjurkan SEMICON Southeast Asia 2020 maya dari 20-23 Julai tahun ini di SEMICON West 2020 dengan pemimpin industri dan pakar-pakar membincangkan trend terkini, pembangunan dan inovasi di Pavilion Asia Tenggara.

Acara dalam talian itu akan diteruskan dari 10-21 Ogos, 2020, dengan webinar teknikal menumpukan kepada topik seperti pembuatan mampan dan pembungkusan canggih. – MalaysiaGazette