nufam
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan diminta supaya mengambil tindakan segera atas isu dan permasalahan yang sedang melanda industri penerbangan dengan mengadakan perbincangan pasca Covid-19.

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) berkata, ramai pekerja industri ini terjejas teruk apabila dibuang kerja secara tidak adil oleh syarikat penerbangan.

Sekretariat NUFAM bertanya, siapa atau pihak manakah yang sepatutnya bertanggungjawab menangani masalah yang membelenggu industri penerbangan ketika ini.

”Mereka yang dibuang ini telah berkhidmat di syarikat penerbangan selama berbelas tahun dan sudah tentu mereka tidak berpuas hati atas tindakan pembuangan kerja tanpa mematuhi arahan kerajaan yang sebelum ini meminta agar pembuangan pekerja dielakkan.

”Menteri hanya berjumpa dan mendengar keluhan ketua-ketua pegawai eksekutif sahaja tetapi bagaimana dengan pekerja?

”Sepatutnya menteri juga perlu memberi perhatian dan keadilan yang sama kepada juruterbang, kru dan pekerja lain yang terjejas.

“Jika prosedur operasi standard (SOP) mengekang pertemuan ini, menteri masih boleh bersemuka secara online,” kata NUFAM.

Kesatuan itu berkata, sejak beberapa minggu ini ramai pekerja ini menghubungi pejabat NUFAM untuk memohon bantuan dan menyelesaikan pemberhentian mereka.

Rata-rata pekerja ini mendakwa pampasan yang diterima tidak adil buat mereka.

“Tatkala pekerjaan sukar diperoleh, syarikat penerbangan pula lepas tangan dengan bayaran pelepasan yang tidak adil.

“Malah, pada ketika ini masih ramai pekerja industri penerbangan menantikan Bantuan Prihatin Nasional, bagaimanakah mereka mahu meneruskan kehidupan selepas ini,” soal NUFAM.

Oleh itu, NUFAM meminta Kementerian Pengangkutan berjumpa dengan pihaknya serta wakil pekerja berkenaan agar permasalahan mereka didengari dan diberi perhatian sewajarnya.

”Jangan kita mudah lupa dengan pengorbanan beribu pekerja ini yang telah berkhidmat untuk pembangunan industri penerbangan negara. Tanpa pengorbanan mereka, industri ini tidak akan berkembang dan maju.

“Sekurang-kurangnya bertemulah mereka ini agar jalan keluar permasalahan dan kesempitan yang mereka hadapi ini dapat dileraikan,” tambahnya yang menjangka beribu pekerja lagi akan diberhentikan jika kerajaan tidak bertindak pantas.

Sehingga hari ini lebih 1,000 pekerja termasuk juruterbang, kru serta pekerja lain telah dihentikan oleh syarikat-syarikat tambang murah negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ka siong buat la sesuatu..da jd menteri skrg..senyap..dulu bukan main lg semua org tak betul..mana lagi pemimpin mca lain..dpt pegang 5 pelabuhan malaysia terus senyap..cett puiiittt

Comments are closed.