sawit
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggalakkan para pekebun sawit mendapatkan pensijilan Malaysia Sustainability Palm Oil (MSPO) atau Sijil Minyak Sawit Mampan Malaysia.

Ia akan memberi manfaat kepada lebih 400,000 pekebun kecil terutama 258,657 pekebun sawit persendirian di negara ini, kata Pengerusi MPOB, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Dalam satu kenyataan, MPOB komited dalam mendapatkan 100 peratus pengiktirafan MSPO di Malaysia dan fokus utama adalah kepada para pekebun dalam usaha membantu mereka mendapatkan hasil buah tandan segar (BTS) yang bermutu tinggi.

Ia secara langsung dapat meningkatkan kadar perahan minyak (OER).

“Fokus lebih tertumpu kepada pekebun-pekebun persendirian sawit kerana pemilik ladang yang berskala besar dan pihak industri mempunyai pengetahuan berkenaan MSPO dan mereka telah memohon serta telah diberi pengiktarafan sijil berbanding pekebun kecil persendirian,” kata Ahli Parlimen Machang itu.

MPOB, katanya, memandang serius dengan pensijilan ini kerana 2.3 juta hektar daripada 5.90 juta hektar tanaman sawit dimiliki oleh pekebun kecil dan persendirian dan ianya meliputi 60 peratus tanah pertanian di Malaysia.

Negara pengimport memperakukan sijil MSPO dan menyatakan kesediaan akan membeli sawit Malaysia dengan harga yang lebih tinggi, sekaligus akan membantu pekebun meningkatkan pendapatan hasil daripada penghasilan buah tandan segar yang bermutu dan tinggi nilainya.

Pensijilan ini akan memberi pengetahuan seperti amalan pertanian baik (GAP) sawit, mengurangkan kos pengeluaran, meningkatkan kecekapan pengurusan serta meningkatkan produktiviti dan secara langsung meningkatkan pendapatan pekebun.

Bagi mereka yang belum memperolehi sijil MSPO, MPOB melalui 54 pejabat Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) diseluruh Malaysia, bersedia untuk membantu anda mendapatkan pensijilan MSPO. Ini merupakan inisiatif kerajaan untuk rakyat.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi melalui MPOB telah memberi peruntukan yang cukup bagi memastikan pensijilan ini dapat disempurnakan.

Oleh itu, pekebun-pekebun harus mengambil peluang ini bagi memastikan sijil ini mencapai sasaran 100 peratus pada tahun 2020.

Peluang ini harus digunakan sebaik-baiknya, terutama dengan pengecualian 100 peratus duti eksport terhadap minyak sawit mentah, minyak isirong sawit mentah dan minyak isirong sawit yang diproses yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun 2020 yang akan bermula pada 1 Julai hingga 31 Disember 2020.

Ia akan memberi manfaat yang besar kepada pekebun, pemilik ladang serta pihak industri dalam usaha menambah pendapatan serta menyumbang kepada ekonomi negara.

Masyarakat di pohon untuk membantu MPOB memberi hebahan ini kepada ahli keluarga, saudara mara serta kenalan yang terlibat dalam industri sawit negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast