KUALA LUMPUR – Pembukaan kolam renang untuk aktiviti latihan sukan tanpa sentuhan fizikal dibenarkan mulau 25 Jun ini.
Aktiviti latihan renang (termasuk juga aktiviti latihan terjun dan latihan menyelam) juga dibenarkan di kolam renang mengikut sesi tertentu yang ditetapkan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pembukaan dibuka mulai Khamis depan untuk memberi sedikit masa kepada operator kolam renang, kelab dan akademi renang membuat persiapan yang rapi, menyediakan prosedur operasi standard (SOP) dalaman yang bersesuaian serta tujuan pembersihan kolam renang dan premis.
Operator kolam renang, kelab dan akademi renang juga perlu membuat pendaftaran notifikasi pembukaan kolam renang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di laman web NOTIFICATION.MITI.GOV.MY untuk tujuan pematuhan kepada SOP dan untuk tujuan pemantauan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS)
Namun jumlah peserta dihadkan pada satu-satu sesi mengikut kapasiti kolam renang untuk dua kategori peserta atau perenang seperti berikut:
i) Atlet Kebangsaan, Negeri dan perenang Kelab atau Akademi Renang dalam program-program latihan tertentu; dan
ii) Peserta dalam program-program latihan berperingkat (seperti program belajar berenang).
Atlet / peserta dalam aktiviti latihan renang perlu mematuhi 14 perkara dalam SOP Am individu seperti berikut:
i) Pendaftaran aplikasi MySejahtera;
ii) Aktiviti latihan dilakukan di fasiliti yang mematuhi SOP;
iii) Pastikan memakai face mask sebelum dan selepas aktiviti;
iv) Pastikan aktiviti dilakukan di kawasan yang tidak terlalu ramai orang;
v) Penjarakan sosial 1 hingga 3 meter untuk aktiviti statik dan 3 hingga 5 meter semasa aktiviti latihan (aktiviti dinamik) di dalam kolam renang;
vi) Pastikan langkah-langkah kebersihan sebelum, semasa dan selepas aktiviti;
vii) Dilarang meludah merata-rata;
viii) Pastikan peralatan yang dikongsi dibersihkan,
dinyahkuman dan disimpan dalam keadaan yang baik;
ix) Meninggalkan premis / tempat latihan secepat mungkin selepas aktiviti latihan;
x) Tidak bersalaman / bersentuhan dan kurangkan interaksi sosial;
xi) Dilarang berkongsi air minuman, makanan, pakaian, tuala muka dan peralatan peribadi;
xii) Aktiviti yang melibatkan kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah, golongan kelainan upaya (OKU), berkeperluan khas dan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas adalah tidak digalakkan;
xiii) Pastikan aktiviti latihan renang dilakukan di dalam kolam yang standard untuk latihan dan pertandingan; dan
xiv) Pastikan pengguna terlebih dahulu membersihkan diri sebelum menggunakan kolam.
Tambah beliau, Operator Kolam Renang, Kelab dan Akademi Renang juga perlu mematuhi 22 perkara dalam SOP Am Pengurusan seperti berikut: –
i) Pastikan imbasan QR (QR Code) dipaparkan bagi pendaftaran individu ke premis;
ii) Pastikan operasi premis dimaklumkan melalui
notification.miti.gov.my bagi tujuan pemantauan KBS;
iii) Tatacara / SOP Dalaman Operator, Kelab dan Akademi yang bersesuaian selari dengan SOP MKN;
iv) Individu yang tidak berkenaan tidak dibenarkan berada di dalam premis;
v) Pastikan saringan suhu badan dilakukan setiap kali memasuki premis;
vi) Pastikan kawalan bilangan minima petugas dan pengguna pada setiap sesi mengikut saiz kolam dan keluasan premis;
vii) Pastikan kakitangan bertugas memakai face mask;
viii) Pastikan operasi premis adalah secara berjadual;
ix) Penjarakan sosial 1 – 2 meter ketika berada di premis;
x) Penjarakan sosial semasa aktiviti statik: 1 – 3 meter, aktiviti dinamik: 3 – 5 meter;
xi) Pastikan pengamalan kebersihan tangan;
xii) Pastikan penandaan dan pandu arah yang jelas;
xiii) Pastikan peralatan yang digunakan dibersihkan dan
dinyahkuman selepas penggunaan;
xiv) Pastikan kaedah penyampaian maklumat adalah secara lisan tanpa melibatkan sentuhan fizikal (anggota badan) kepada pengguna premis;
xv) Pastikan penggunaan bilik mandi / persalinan dihadkan bilangan pengguna yang minima serta dibersihkan secara kerap;
xvi) Kemudahan tambahan seperti sauna, jacuzzi dan lain-lain tidak dibenarkan;
xvii) Pembersihan dan nyahkuman premis dilakukan mengikut kekerapan penggunaan;
xviii) Pastikan tatacara pengendalian kes kecemasan disediakan;
xix) Pastikan pengguna yang menghidap penyakit berjangkit yang bahaya dan penyakit kulit dilarang mandi di kolam renang;
xx) Pastikan pengguna terlebih dahulu membersihkan diri sebelum menggunakan kolam renang;
xxi) Parameter dan nilai piawai bagi kualiti air adalah tertakluk kepada Garis Panduan Pemantauan Kualiti Air Kolam Renang yang terkini yang dikeluarkan oleh KPKT dan KKM; dan
xxii) Pastikan ujian klorin air dalam kolam renang dilakukan setiap 2 jam operasi. – MalaysiaGazette