KUALA LUMPUR – Meskipun perniagaan sudah dibenarkan beroperasi namun banyak peniaga terjejas teruk ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan susulan pandemik Covid-19.
Berikutan itu, kerajaan diminta mempertimbangkan agar melanjutkan tempoh moratorium selama enam bulan lagi bagi membolehkan para peniaga ‘bernafas’ semula.
Moratorium membabitkan pinjaman tertentu akan berakhir pada bulan Oktober ini.
Pengerusi Hal Ehwal Usahawan, Persatuan Alumni UiTM Malaysia, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, sehingga kini, jumlah usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang berdaftar di Malaysia adalah sebanyak 907,065.
Daripada jumlah ini, lebih 600,000 adalah PKS mikro dan lebih kurang 10% adalah usahawan dalam kalangan alumni UiTM.
“Walaupun kebanyakan sektor perniagaan dibuka semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tetapi majoriti peniaga masih belum mampu beroperasi seperti sebelum PKP.
“Dalam situasi semasa yang baharu bermula, kebanyakan mereka mengalami masalah kewangan dari aspek memulakan perniagaan.
“Oleh itu, sewajarnya kerajaan memberi pertimbangan agar moratorium kepada PKS mikro ini dilanjutkan kepada satu tempoh lagi,” katanya.
Lebih membimbangkan persatuan ini apabila 8.85% perniagaan telah gulung tikar walaupun 91.15% dapat bertahan dan meneruskan semula perniagaan.
Tambahnya, peniaga pasar malam dan pasar tani juga baru bermula perniagaan yang dibenarkan semalam pada 15 Jun lalu namum dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, ada penganjur tapak pasar malam masih belum membukanya kerana terus berunding dengan pihak berkuasa.
“Biarpun PKPP akan berakhir 31 Ogos ini, tapi perniagaan masih tidak dapat pulih sepenuhnya.
”Jika mengambil kira tempoh perniagaan yang baru dibuka sepenuhnya bermula pertengahan bulan ini dan ada lagi sektor perniagaan tidak dibenarkan lagi berniaga terutama PKS mikro sudah tentu aliran kewangan peniaga belum pulih sepenuhnya.
“Ditambah sambutan dan kuasa pembeli juga masih belum pulih kerana rakyat kini berhati-hati berbelanja disebabkan ketidaktentuan keadaan, selain isu pengangguran.
“Mengambil kira semua senario ini, sudah pasti tempoh berakhir moratorium pada bulan Oktober ini membebankan peniaga-peniaga,” kata Ahmad. – MalaysiaGazette