KUALA LUMPUR – Pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil Zafuan Abdul Radzak menyeru semua pemain dan pasukan untuk sama-sama mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pada latihan fasa satu seperti yang diarahkan oleh Malaysian Football League (MFL).
Baginya, tiada cara lain jika mahu mengharapkan latihan penuh dapat dijalankan dalam masa terdekat kecuali semua pihak tidak melanggar SOP terutama mengekalkan corak latihan yang tidak mengamalkan body contact selain berdisiplin di gelanggang latihan.
Selain itu, pemain berpengalaman itu melihat pematuhan SOP berkenaan juga salah satu peranan perlu dimainkan warga bola sepak bagi mengelakkan jangkitan wabak Covid-19 yang masih belum berakhir di negara ini.
“Saya mengharapkan kita mampu ikuti segala arahan diberikan demi kebaikan bersama kerana kita tidak mahu selepas ini berlaku benda-benda yang tidak diingini seperti penularan virus Covid-19 dalam kalangan pemain.
“Ini merupakan tanggungjawab kita bersama bagi mengikuti SOP yang ditetapkan bagi membendung penularan wabak Covid-19 selain menjaga kepentingan liga kita.
“Dalam masa sama, saya bersetuju juga jika kita sama-sama kekalkan disiplin dengan ikuti semua SOP, kita boleh sama-sama memastikan latihan secara penuh dapat dibuat dalam masa terdekat, ” katanya yang juga tonggak skuad kebangsaan.
Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan menegaskan latihan fasa satu bakal menjadi penanda aras penting buat pasukan sebelum pengendali liga tempatan itu melanjutkan proses kepada fasa dua
Ini kerana proses kepada fasa dua iaitu latihan secara body contact akan menjadi lebih cerah jika kesemua pasukan patuh serta disiplin mengikuti setiap SOP ketika menjalani sesi latihan dalam fasa satu tanpa body contact.
Sementara itu, JDT yang telah mendapat kelulusan MFL telah menjalani latihan pertama di pusat latihan JDT di Padang Seri Gelam semalam.
Menurut Aidil, permulaan latihan ini sebagai sesuatu yang baik kerana bukan sahaja kepada dirinya bersama JDT namun juga bersama skuad kebangsaan.
“Latihan pertama saya dengan JDT berjalan dengan lancar walaupun mungkin banyak perkara kita perlu ikuti dengan penuh berhati-hati terutama dari segi penjarakan dan tidak boleh bersentuhan semasa melakukan latihan.
“Tiga bulan selepas tidak dapat berlatih bersama, bagi saya berjumpa dengan kembali rakan sepasukan memang satu menggembirakan tetapi dalam masa sama perlu menjaga batas agar tidak melanggar SOP.
“Bagi saya, situasi kebenaran berlatih lebih awal ini cukup positif kepada perkembangan liga kita selain skuad kebangsaan kerana ia akan membantu jurulatih mendapatkan pemain yang cergas bagi hadapi aksi di peringkat antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette