Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 48 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), ujar Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas beliau, daripada jumlah ini 40 individu telah direman dan lapan lagi dikenakan kompaun.

Menurutnya, antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti refleksologi atau urut melibatkan seramai 10 individu dan aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial adalah 38 individu.

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 67,004 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP.

“Sebanyak 3,744 Pasukan Pematuhan telah membuat pemantauan dan melibatkan seramai 16,675 anggota,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Mengenau Operasi Benteng, Ismail memberitahu, penglibatan Angkatan Tentera Malaysia, PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) telah mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

“PDRM telah membuat 69 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 34,275 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong-lorong tikus.

“PDRM telah berjaya menahan 10 warganegara asing di Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Ismail turut memaklumkan seramai 281 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dari Singapura, UAE, China, Brunei, Pakistan, Vietnam dan Hong Kong semalam.

“Seramai 278 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka (home quarantine) manakala tiga lagi dibawa ke hospital,” katanya. – MalaysiaGazette