Dr. Ibrahim dan Naib Presiden Putra Malaysia, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz pada sidang media selepas mesyuarat Biro Politik dan Ketua-ketua Putra seluruh negara di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 106 bahagian Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) telah diluluskan penubuhannya oleh Jabatan Pertubuhan Pendaftaran (RoS).

Jumlah itu adalah daripada 143 bahagian yang dimohon oleh Putra di seluruh negara sejak ditubuhkan kira-kira 13 bulan lalu, kata Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali.

Menurut beliau, RoS memberi jaminan 106 bahagian Putra itu akan menerima sijil kelulusan masing-masing selepas 30 Jun ini.

“Ini satu pencapaian amat membanggakan dan bagi meraikannya, Putra akan mengadakan Konvensyen Kepimpinan Nasional serta jamuan perdana pada Januari 2021 depan.

“Sepatutnya majlis ini diadakan 30 Mei lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan akibat penularan pandemik Covid-19,” katanya pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat Biro Politik bersama Ketua-ketua Putra seluruh negara di sini, semalam.

Jelas Dr. Ibrahim, dalam mesyuarat itu juga Putra mencapai kata sepakat untuk tidak melibatkan diri dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK) baik di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen.

Katanya, sebagai parti baharu, kepimpinan Putra berpendapat menyertai PRK negeri atau Parlimen hanya membuang masa dan wang, sebaliknya parti itu sedang menyusun strategi siap siaga merancang dan menentukan kawasan yang akan bertanding PRU-15.

“Kita fokus persediaan hadapi PRU-15 dengan tidak mempedulikan PRK. Bagi Putra, PRK tidak memberi apa-apa kesan, selain kita berpendapat kalau kita menang satu dua kerusi DUN atau Parlimen pun tidak akan membawa apa-apa perubahan.

“Sekarang ini kita sedang meneliti dari segi kekuatan kita di peringkat akar umbi dan pola pengundi di kawasan yang kita kenal pasti untuk bertanding dan juga kita sudah mengenali bakal calon yang boleh diketengahkan pada PRU-15 ini.

“Kalau mengikut edah, tempoh PRU-14 berakhir tiga tahun lagi, tetapi kita tidak menolak kemungkinan PRU-15 boleh berlaku bila-bila masa kerana pergolakan politik sekarang ini tidak menentu.

Mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) tambahan yang diumumkan baru-baru ini, beliau berpendapat sewajarnya ia dibentang dan dibahas di Parlimen.

Tegas beliau, apa sahaja bantuan menggunakan duit kerajaan mesti mendapat kelulusan dan dibincangkan di Parlimen kerana rakyat berhak tahu penggunaannya dan jumlah hutang ditanggung sehingga kini, yang dikatakan telah mencecah RM1 trilion.

“Kesan daripada Covid-19, kita ambil maklum Pakej Prihatin RM260 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewajibnya dibentang dalam parlimen.

“Kita nak tahu mana sumber kewangan, apakah kerajaan terpaksa pinjam dari luar negara dan tambah beban negara atau terus menjual aset negara untuk menampung perbelanjaan kerajaan.

“Sebab nilai pendapatan hasil negara seperti petroleum jatuh dan kerajaan hilang pendapatan apabila kutipan cukai GST dihapuskan,” katanya.

Beliau berkata, ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan lalu, rakyat tahu cara digunakan kerajaan itu untuk menampung perbelanjaan negara ialah dengan menjual aset strategi kerajaan.

Sekarang pun, ujar beliau, kerajaan PN dikatakan turut menjual beberapa aset penting negara, dan jika benar, kerajaan perlu bersikap telus, tidak retorik dengan memaklumkan kedudukan sebenar bajet negara kepada rakyat.

Dr. Ibrahim turut menyatakan kesedihan kepimpinan Putra dengan kehilangan pekerjaan melibatkan ratusan ribu rakyat tempatan kerana penutupan industri penting akibat wabak Covid-19.

Katanya, walaupun kerajaan mendakwa rakyat hidup selesa dengan bantuan Prihatin dan PRE, tetapi hakikatnya Putra dapat merasai kegelisahan dialami rakyat akibat kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan untuk menyara keluarga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Selalu katak hanya nak menyelamatkan diri saja. Penyokong hanya diguna sebagai batu loncatan. Hujah berkobar tapi tak ada isi. Saham dalam syarikat vincent tan ada lagi ke?

Comments are closed.