Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat lanjut dan terkini mengenai perkembangan Covid-19 di Malaysia dengan melayari laman web Covid-19 iaitu http://covid-19.moh.gov.my/.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia bagi mengelak sebarang penyebaran berita palsu dan pada masa sama rakyat boleh menyemak kesahihan sesebuah berita sebelum disebarkan.

Katanya, laman web berkenaan telah mulai beroperasi (go live) pada 5 Mei 2020 dan hebahan mengenainya telah diwar-warkan melalui Portal Rasmi KKM dan kemudiannya telah diperluaskan melalui media sosial KKM iaitu Facebook KKM, Telegram, Instagram dan Twitter.

“Setelah lebih sebulan beroperasi, capaian Laman Web Covid-19 adalah lebih kurang 60,000 pengguna dan kini ia berada di tempat pertama dalam enjin carian Google.

“Maklumat lanjut mengenai kejadian Covid-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram Kesihatan Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) KKM dan juga laman web Bahagian Pendidikan Kesihatan, KKM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut berkongsi pautan ke laman web dan media sosial rasmi KKM untuk kesahihan data Covid-19 iaitu, http://covid-19.moh.gov.my/, Laman Bahagian Pendidikan Kesihatan,KKM: https://www.infosihat.gov.my/index.php/wabak-novelcoronavirus-atau-2019ncov; Facebook KKM: https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/; Instagram KKM:
https://www.instagram.com/kementeriankesihatanmalaysia/; Twitter KKM: https://twitter.com/kkmputrajaya
dan Telegram CPRC KKM: https://t.me/cprckkm.

Menurut Dr. Noor Hisham, sehingga 20 Jun lalu, statistik daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan bahawa tiada pertambahan kertas siasatan baharu yang dibuka oleh Polis Diraja Malaysia dan SKMM dalam tempoh lebih tiga minggu yang lepas berkaitan penularan berita palsu Covid-19.

“Ini menunjukkan bahawa kesedaran masyarakat telah meningkat akan kepentingan tidak berkongsi berita palsu,” katanya lagi.

Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya dan boleh menyalurkan maklumat kepada PRP di talian 03-8911 5103 atau layari www.sebenarnya.my untuk menyemak kesahihan berita.

“Setakat 20 Jun 2020, jumlah layaran portal ini telah mencecah 137.6 juta pengguna,” tegas Noor Hisham.- MalaysiaGazette