Pada zaman moden ini aktiviti riadah seperti memanah berkuda sudah tidak asing lagi dalam masyarakat tempatan terutama pada golongan muda yang berminat dengan sukan yang digemari Rasullah SAW.
Biarpun tidak begitu popular seperti sukan lain antaranya badminton atau lumba basikal yang dipertandingkan di Sukan Olimpik, aktiviti memanah sambil berkuda mempunyai pelbagai kelebihan untuk kesihatan tubuh badan.
Sukan ini juga dapat membina fokus, daya tumpuan dalam menyemai rasa tanggungjawab, disiplin diri dan keyakinan peribadi selain dapat mengawal emosi penunggang.
Selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pengusaha dan juga pelatih Mohd Nasrul Kamarulzaman, 32 mula melakukan rutin hariannya kembali setelah hampir 3 bulan bercuti akibat Covid-19.
Kejayaan merangkul dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa di Kejohanan Memanah Berkuda Dunia ke-15 dan Kejohanan Seni Pertahanan Diri Dunia, Chungju 2019 itu, menyaksikan nama Malaysia tercatat sebagai antara kuasa baharu sukan memanah tradisional berkuda dunia.
Beliau juga mula melatih anak-anak muda bagi menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.
Impian Nasrul adalah untuk melihat sukan memanah berkuda ini lebih dikenali dan diceburi oleh pelbagai kaum dan peringkat umur.