Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pihak badan bukan kerajaan (NGO) disaran turun padang untuk melihat sendiri implikasi negatif pencerobohan pendatang tanpa izin terutamanya dalam aspek kedaulatan negara, dan bukan sekadar lantang memperjuangkan hak pendatang tanpa izin serta kemanusiaan di media sosial.

Komander Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF), Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah berkata, ia pastinya akan membuka mata masyarakat dalam memberikan gambaran sebenar impak negatif kemasukan pendatang tanpa izin terhadap negara kerana pihak NGO mempunyai khalayak penyokong yang ramai dan berpengaruh.

Beliau berkata NGO perlu merujuk kepada sumber sahih sebelum membuat sebarang kenyataan dan tidak menularkan berita tidak tepat kerana ia mengundang persepsi negatif terhadap kredibiliti pasukan keselamatan negara.

“Selain itu, sebagai entiti (NGO) yang didengari di persada antarabangsa, pihak NGO diseru meraih perhatian komuniti antarabangsa terutamanya negara jiran agar bekerjasama menangani masalah pendatang tanpa izin secara bersepadu,” katanya kepada Bernama dalam wawancara khas di ibu pejabat NTF, di sini, baru-baru ini.

Aris berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan segelintir NGO yang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka di media sosial berhubung kaedah dan langkah kerajaan dalam mengendalikan pendatang tanpa izin.

“NGO perlu mengetahui bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi penguatkuasa yang lain ditugaskan untuk menjaga keselamatan negara dan perlu memberi pelindungan kepada rakyat daripada segala bahaya termasuklah wabak COVID-19.

“Sebenarnya objektif NTF dan NGO adalah sama dan ia bukan persaingan siapa suara lebih lantang, kita boleh bekerjasama cuma keutamaan berbeza yang beruniform ada misi mereka manakala NGO mempunyai penyokong serta mempunyai fungsi tersendiri,” katanya.

Aris berkata NTF tidak sewenang-wenangnya mengusir pendatang tanpa izin memandangkan golongan ini mempunyai pelbagai taktik bagi memastikan diri mereka tidak dihantar pulang sekiranya ditahan.

“Saya ingin mengambil contoh kes penangkapan Rohingya di perairan Langkawi baru-baru ini, bot yang membawa 269 pendatang tanpa izin bersama mayat seorang wanita itu didapati sengaja dirosakkan menyebabkan NTF menerusi keputusan Majlis Keselamatan Negara tidak meneruskan pengusiran,” katanya.

Beliau berkata disebabkan itu, Malaysia terpaksa menanggung beban untuk melakukan ujian saringan COVID-19 dan menyediakan tempat tahanan sementara untuk mereka di Kem Bina Negara Wawasan Langkawi.

“Sebelum ketibaan pendatang tanpa izin ini di perairan negara mereka perlu melalui beberapa negara tetapi mengapa NGO-NGO ini tidak menyalahkan negara serantau kerana tidak mengambil tindakan awal seperti menyekat bot-bot asing ini?

Setelah tindakan pengusiran dibuat oleh kerajaan, NGO-NGO berkenaan lantang bersuara mengenai kemanusiaan dan menidakkan kepentingan rakyat Malaysia sendiri,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial terdapat beberapa NGO dilihat mempersoal dan menyalahkan kaedah dan langkah pihak kerajaan dalam menguruskan pencerobohan pendatang tanpa izin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. NGO yg kritik krjaan halau pati tu..ngo bodoh n ngo yg kurang segar..sptutnta ngo mcn ni jgn ada kat mlysia..ngo cap ayam..aku srang biar ngo bodoh ni ambik pati no ltak rmh dia..biar dia rasa mcn mana..

Comments are closed.