Kempen boikot Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit dan produk sawit semakin 'mengganas' sehingga hotel bebas sawit telah diwujudkan oleh entiti perniagaan yang menentang penggunaan sawit.
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Penggunaan minyak sawit global dijangka susut pada musim ini buat kali pertama disebabkan pandemik koronavirus yang mengurangkan permintaan minyak dan lelemak yang boleh dimakan, kata penganalisis industri, Thomas Mielke.

Mielke meramalkan penggunaan minyak sawit pada musim 2019-2020 mulai Oktober turun 2.2 juta tan atau sekitar 3% berbanding musim lalu.

“Ini belum pernah terjadi sebelumnya dan dibandingkan dengan peningkatan penggunaan global sebanyak 8 juta tan pada musim lalu,” kata Mielke yang juga Pengarah Eksekutif Oil World dalam seminar online.

Permintaan semakin meningkat untuk minyak sayuran yang murah dan banyak digunakan tahun ini susulan sekatan pergerakan di seluruh dunia untuk membendung penyebaran virus koronavirus yang telah menyebabkan penutupan restoran.

Eksport minyak sawit dari Malaysia, pengeluar sawit kedua terbesar di dunia, melonjak lebih dari 50% pada awal bulan Jun berbanding bulan sebelumnya ketika negara-negara mula melonggarkan sekatan.

Walau bagaimanapun, penganalisis utama mengingatkan bahawa permintaan keseluruhan tahun ini akan tetap lemah dan hanya akan meningkat pada musim depan.

“Kesan berlanjutan daripada krisis Covid-19 akan mengurangkan pendapatan boleh guna, membataskan perbelanjaan untuk makanan terutama di negara-negara membangun,” kata Mielke.

Penggunaan biodiesel sawit juga menderita akibat penurunan permintaan, kata James Fry, Ketua Perunding LMC International.

Menurutnya, kejatuhan harga bahan bakar menjadikan minyak sawit sebagai pilihan yang kurang menarik sebagai bahan pilihan biodiesel.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia menganggarkan penutupan stok minyak sawit negara tahun ini akan meningkat 14.4% daripada tahun sebelumnya kepada 2.3 juta tan.

Bagaimanapun, Fry menjangkakan stok minyak sawit negara akan melonjak melebihi 3 juta tan kerana pandemik koronavirus memberi kesan sedikit kepada pengeluaran. – MalaysiaGazette