Seorang gelandangan dilihat tidur di hadapan premis semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar Masjid India, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 21 APRIL 2020.

KEDUDUKAN golongan gelandangan terutamanya di ibu negara mula menarik
perhatian ramai ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pelbagai
agensi mula membantu mereka kerana dikhuatiri boleh terbabit dalam penularan
wabak Covid-19. Ini sememangnya satu tindakan yang wajar kerana mereka ini juga
adalah sebahagian daripada kita dan perlu disantuni sebaik mungkin.

Dalam konteks ini, kita memuji tindakan dan pelbagai langkah proaktif yang telah
diambil oleh pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dalam menyantuni golongan
gelandangan di ibu kota ketika PKP. Misalnya, hasil inisiatif kementerian ketika PKP
membolehkan gelandangan memperoleh penempatan sementara, diberi makan dan
minum, dijaga kesihatan, diberi latihan pembangunan sahsiah diri serta lebih
menarik lagi dapat dicarikan kerja dan gaji tetap. Ini adalah hasil kerjasama pihak
kementerian dengan pelbagai agensi kerajaan dan pihak swasta. Ini sewajarnya
boleh menjadi satu model pengurusan gelandangan yang baik yang boleh dijadikan
contoh, panduan dan rujukan oleh semua agensi dan pihak berkuasa peringkat
negeri. Hal ini kerana golongan kurang bernasib baik ini wujud di semua negeri
terutamanya di kawasan bandar yang menjadi tumpuan orang ramai.

Pelbagai faktor mempengaruhi nasib malang yang menimpa golongan ini antaranya,
menjadi mangsa keganasan rumahtangga, ditinggalkan atau diabaikan oleh ahli
keluarga serta ada yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan lantas disisihkan
oleh keluarga dan juga anggota masyarakat yang lain. Malah tidak kurang juga yang
terbabit dengan penyalahgunaan dadah. Akhirnya mereka memilih untuk
meneruskan sisa kehidupan di jalanan dan cuba meneruskan kehidupan dengan
ihsan dan simpati orang. Berdasarkan senario ini, antara keperluan mereka ialah,
tempat tinggal, pakaian, makan dan minum, rawatan kesihatan dan pemulihan, kerja
untuk menampung kehidupan serta sudah tentu mendahagakan kasih sayang.

Hakikatnya, walau apapun latar belakang dan permasalahan mereka, jangan kita
lupa betapa mereka ini juga adalah sebahagian daripada masyarakat kita, jadi kita
tidak boleh membiarkan mereka terus hidup di jalanan seperti ini. Baik kerajaan
mahupun anggota masyarakat perlu memikul tanggungjawab secara bersama untuk
membantu menyelamatkan mereka sterusnya membawa masuk mereka kembali ke
dalam masyarakat kita. Walaupun ianya bukan tugas mudah namun kita percaya
gabungan kerjasama semua pihak mampu merealisasikan menyelamatkan mereka.

Penulis percaya kebanyakkan daripada mereka adalah mangsa keadaan baik
keluarga sendiri mahupun masyarakat sekeliling. Jadi jika kita mampu mengenalpasti
masalah serta menyelami perasaan mereka, pasti dapat membantu memulihkan
semangat mereka untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Langkah
pertama ialah kita perlu mencari dan mengumpul semua gelandagan di seluruh
negara mengikut bandar dan negeri masing-masing.

Mereka perlu disediakan tempat tinggal sementara yang berpusat kalau boleh di setiap bandar utama dengan kemudahan prasarana asas yang sewajarnya termasuklah bantuan makan, minum,pakaian serta penjagaan kesihatan. Dari situ kita boleh mengusahakan keperluanmereka yang lain terutamanya dari segi keperluan rawatan perubatan serta peluangpekerjaan supaya mereka boleh keluar dari situ dan berdikari serta membina hidup baru.

Secara prinsipnya kita boleh membahagikan golongan gelandangan ini kepada dua
kategori utama iaitu, golongan pertama ialah mereka yang sihat tubuh badan
(mental dan fizikal) tetapi terbiar, menganggur dan tiada hala tuju di mana mereka
ini memerlukan bimbingan serta peluang pekerjaan untuk membina hidup. Manakala
golongan kedua ialah mereka yang ada pelbagai masalah kesihatan termasuk yang
terlibat dengan najis dadah serta warga emas di mana mereka memerlukan
penjagaan kesihatan atau rawatan pemulihan serta tempat perlindungan yang
sewajarnya.

Jadi kita perlu merancang untuk menyantuni keperluan dua golongan ini agar
kehidupan mereka tidak berakhir di jalanan begitu saja. Kerjasama strategik dengan
pihak swasta misalnya boleh membantu mereka memperoleh peluang pekerjaan.
Penulis percaya mereka ini sanggup buat apa saja asalkan diberikan peluang
termasuklah bekerja dalam sektor 3D iaitu, kotor, sukar dan bahaya. Bila sudah ada
kerja maka kita yakin mereka boleh mencari rumah atau bilik sewa sendiri serta
membina kehidupan yang baru.

Manakala bagi yang memerlukan rawatan kepada pelbagai penyakit terutamanya
pemulihan dari najis dadah, kita boleh terus merujuk mereka kepada pihak hospital
dan pusat pemulihan. Selepas pulih mereka wajar dibantu untuk mendapatkan
peluang pekerjaan seterusnya memberi dorongan untuk membina hidup baru. Ini
memerlukan proses pemantauan yang rapi dari agensi yang berkaitan. Warga emas
pula perlu ditempatkan di rumah kebajikan yang bersesuaian.

Justeru bagi menyantuni golongan ini secara menyeluruh dan berterusan, agensi
kerajaan yang terbabit perlu merangka pelan atau model pemulihan golongan
gelandangan yang bersifat jangka pendek dan jangka panjang. Semua pihak
berkepentingan seperti pihak swasta, badan bukan kerajaan yang selama ini
membantu gelandangan serta pemimpin masyarakat perlu dilibatkan secara langsung
dalam perancangan dan pelaksanaan pelan pemulihan ini.

Kesimpulannya, kita perlu membantu mereka untuk satu jangka masa yang panjang
sehingga mereka dapat memulihkan semangat serta berdikari serta boleh membina
hidup sendiri. Ini adalah tanggungjawab sosial dan moral seluruh rakyat Malaysia.
Maka tugas menyantuni gelandangan perlu menjadi tugas yang berterusan dan ini
memerlukan kerjasama serta komitmen seluruh anggota masyarakat.

Noor Mohamad Shakil Hameed
Pembaca MalaysiaGazette 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast