Hanya penduduk tempatan dan rakyat asing yang berada di Arab Saudi dibenarkan mengerjakan ibadat haji pada tahun ini. Gambar hiasan

RIYADH – Arab Saudi memutuskan untuk membenarkan ibadat haji dilaksanakan tahun ini tetapi dengan jumlah jemaah yang terhad.

Kementerian Haji dan Umrah dalam kenyataannya berkata, memandangkan pandemik koronavirus masih memberi risiko terutama di ruang yang padat dan perhimpunan besar-besaran, maka Arab Saudi mengehadkan ibadat haji pada tahun ini untuk rakyatnya dan jemaah daripada pelbagai negara yang sudah berada di negeri ini.

‘Keputusan itu diambil untuk memastikan ibadat haji dapat dilaksanakan dengan selamat daripada perspektif kesihatan masyarakat dan memastikan semua langkah pencegahan dan protokol penjarakan sosial dipatuhi demi melindungi manusia daripada risiko wabak ini.

“Langkah yang diambil ini adalah seiring dengan ajaran Islam supaya memelihara nyawa manusia.

“Kerajaan yang menjadi Penjaga Dua Masjid Suci ini diberi penghormatan untuk memberi khidmat kepada berjuta-juta jemaah haji dan umrah setiap tahun dan ia mengesahkan keputusan yang diambil ini berdasarkan kepada keutamaan yang diberikan untuk menjaga keselamatan jemaah haji di darat sehingga mereka berangkat ke negara asal mereka.

“Kami memohon kepada Allah untuk melindungi semua negara daripada wabak ini serta menjaga dan melindungi seluruh umat manusia,” kata kenyataan tersebut.

Menurutnya, keutamaan Arab Saudi sekarang adalah memastikan jemaah-jemaah dapat mengerjakan haji dan umrah dengan selamat.

Oleh itu, sejak awal pandemik lagi Kerajaan Arab Saudi telah mengambil semua langkah berjaga-jaga termasuk menangguhkan kemasukan jemaah umrah. – MalaysiaGazette