Gambar hiasan

GOMBAK – Seramai 352 pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hillcrest, Sri Gombak di sini kembali ke sekolah selepas hampir tiga bulan ‘bercuti’ berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bag membendung wabak Covid-19.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati pelajar mula hadir ke sekolah seawal pukul 6.45 pagi selepas dihantar oleh ibu bapa dan penjaga masing-masing.

Guru bertugas dilihat memantau pergerakan pelajar dengan mengingatkan mereka supaya mematuhi penjarakan sosial sebelum mengambil bacaan suhu badan dan mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Kemudian para pelajar diminta untuk terus menuju ke kelas masing-masing bagi dicatatkan kehadiran dan dilarang berada di luar kawasan kelas tanpa kebenaran atau pengawasan guru.

Pengetua SMK Hillcrest, Abdul Samat Ismail berkata, pembukaan semula sesi persekolahan hari ini merupakan fasa pertama yang melibatkan pelajar tingkatan lima seperti diarahkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pelajar beratur sebelum memasuki kelas pada hari pertama sesi pembelajaran selepas pembukaan semula sekolah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hillcrest, Sri Gombak, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 24 JUN 2020

“Fasa satu ini melibatkan pelajar Tingkatan Lima sementara pelajar-pelajar lain tunggu makluman daripada KPM.

“Guru pula kita diarahkan untuk wajibkan semua datang satu sesi sahaja iaitu waktu pagi melibatkan seramai 105 orang.

“Jumlah pelajar adalah seramai 352 orang dan kita pecahkan kepada 26 kelas supaya ada jarak sosial satu meter antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham diiringi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Hillcrest, Zakaria Abdul Karim meninjau pembukaan semula sekolah dan melawat beberapa buah kelas.

Pelajar memakai lencana berkaitan SOP Covid-19 pada hari pertama sesi pembelajaran susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hillcrest, Sri Gombak, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 24 JUN 2020

Sementara itu, Zakaria berkata, pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan dengan pengurusan sekolah bagi memantapkan lagi prosedur operasi standard yang telah digariskan oleh KPM dalam usaha memberikan keselesaan dan kelancaran kepada semua pelajar.

“Kita gunakan ruang sedia ada iaitu bilik makmal sebagai kawasan isolasi untuk pelajar dengan menyediakan kemudahan katil jika ada dalam kalangan mereka yang suhu badannya tinggi atau bagi keperluan kes tertentu.

“Dalam masa sama PIBG turut menggunakan platform media sosial bagi menyampaikan pelbagai maklumat kepada ibu bapa berkaitan wabak Covid-19 ini selain ada sesi taklimat atas talian bagi menyuntik motivasi kepada pelajar,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, ada juga kalangan pelajar yang dilihat kurang bersedia untuk menghadapi sesi persekolahan semula selepas hampir tiga bulan berada di rumah dan belajar secara dalam talian.

“Kita lihat pagi ini masih ada yang berambut panjang (pelajar lelaki) mungkin takut hendak ke kedai gunting tapi untuk fasa pertama ini kita masih beri kelonggaran. Apa yang penting mereka perlu sentiasa amalkan kebersihan dan memakai pelitup muka,” katanya lagi.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr. Mohd Radzi Md. Jidin sebelum ini mengumumkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara akan memulakan sesi persekolahan semula bermula 24 Jun 2020. – MalaysiaGazette