KUALA LUMPUR – Indeks Pelopor (IP) pada bulan April merosot lebih jauh kepada -5.5 peratus berbanding -3.6 peratus pada Mac lalu (April 2020: 96.3 mata; April 2019: 101.9 mata).
Komponen utama yang memacu anjakan penurunan 5.6 mata adalah bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan dan bilangan syarikat baru didaftar.
Mengambil kira prestasi tahunan IP dan kitaran pertumbuhan IP terhadap trend arah aliran jangka panjang yang lebih lemah dijangkakan bahawa ekonomi akan kekal di dalam trajektori penguncupan dalam bulan-bulan ke hadapan, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.
Menurutnya, isyarat awal kemelesetan ekonomi telah ditunjukkan oleh IP semenjak Oktober 2019 selepas ekonomi mula perlahan semenjak itu disebabkan ketegangan perdagangan global dan penguncupan bertambah buruk dengan wabak Covid19.
Trend menurun ini disahkan oleh Indeks Serentak (IS) bermula Februari 2020.
IS mengukur prestasi keseluruhan ekonomi semasa, mencatatkan penurunan mendadak pada negatif 15.6 peratus berbanding negatif 6.9 peratus pada bulan sebelumnya.
Tahun ke tahun, IS merosot kepada negatif 19.3 peratus pada April 2020 daripada negatif 3.6 peratus yang dicatatkan pada Mac 2020, mencerminkan penutupan perniagaan dan permintaan menjunam pada April 2020.
Jelas beliau lagi, pelaksanaan rancangan pemulihan ekonomi iaitu Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dengan teras memperkasakan masyarakat, mendorong perniagaan dan meransang ekonomi akan membantu meredakan tekanan ekonomi walaupun prospek ekonomi yang mencabar.
Oleh itu, gabungan perancangan ekonomi jangka pendek dan jangka panjang dilihat dapat mendorong pemulihan ekonomi yang mampan.