PUTRAJAYA – Para petugas penguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi standard (SOP) akan dihantar ke sekolah-sekolah untuk memastikan tidak ada pelanggaran SOP berlaku dalam kalangan pelajar selepas sesi pembukaan semula sekolah bermula hari ini.
Malah, pemeriksaan mengejut turut akan dilakukan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), kata Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.
Beliau berkata, langkah berkenaan bagi memastikan tidak ada sebarang perhimpunan diadakan oleh pihak sekolah serta pematuhan penjarakan sosial satu meter diamalkan oleh pelajar.
“Itu sebab kita lepaskan pelajar tingkatan lima dan enam yang senang nak jaga, kemudian mereka ada kesedaran.
“Saya percaya semua orang akan merasa penting untuk mereka jaga kesihatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 11 (1), di sini bagi melihat sendiri pengoperasian sekolah pada hari pertama selepas ditutup sejak tiga bulan lalu.
Mengulas mengenai perkara itu Noor Azmi berkata, beliau sangat berpuas hati apabila dapat menyaksikan sendiri pematuhan SOP dibuat oleh pihak sekolah bermula dari pintu pagar hinggalah di dalam bilik darjah.
Dalam pada itu, Noor Azmi memberitahu, sesebuah sekolah bermungkinan akan ditutup sekiranya terdapat kes positif Covid-19.
Katanya, saringan akan turut dilakukan terhadap kontak rapat di sekolah terbabit sebagaimana yang dilakukan kepada indivdiu yang didapati positif Covid-19 dan KKM akan bertindak secepat mungkin bagi membendung penularan wabak itu.
“Kalau ada yang positif mereka akan di hantar ke hospital untuk rawatan dan kontak rapat akan disaring dan ini adalah perkara asas yang dilakukan KKM sebelum ini.
“Saya percaya, kalau perkara ini berlaku mungkin sekolah itu akan ditutup untuk sementara waktu,” ujarnya. – MalaysiaGazette