SHAH ALAM – Kesuraman perniagaan di kompleks beli belah SACC Mall berterusan sehingga kini akibat kehilangan kira-kira 90 peratus pengunjung kerana krisis pandemik COVID-19.
Tinjauan wartawan ke hub pakaian itu pada minggu lalu selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 9 Jun lalu, mendapati pusat beli belah itu lenggang.
Sangat berbeza suasananya ketika kunjungan wartawan ketika mencari baju raya pada tahun lalu, premis ini dipenuhi dengan ribuan pengunjung.
SACC Mall dahulunya dikenali sebagai pusat beli belah eksklusif di wilayah ini sebelum menjadi lubuk pakaian yang menempatkan pelbagai pilihan jenama pakaian tradisional dan moden.
Bagaimanapun, tahun ini premis itu mengalami suasana mencabar apabila semua peniaga terpaksa menutup operasi selama hampir tiga bulan sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) pada 18 Mac lalu.
Menurut pemilik butik Kamoora, Nora Malikiaman, setiap tahun peniaga khususnya pemilik butik di premis ini bergantung sepenuhnya kepada keuntungan yang diperolehi menjelang Aidilfitri.
“Biasanya keuntungan itu dapat menampung sewa, kos utiliti, pekerja dan pusingan modal.
“Bulan-bulan biasa keuntungan kecil sahaja dan sekadar mampu meneruskan perniagaan sahaja.
“Apabila berlakunya COVID-19, premis ditutup selama tiga bulan dengan sifar pendapatan, peniaga-peniaga amat sengsara.
“Lebih sengsara, bayaran tapak Ramadan antara RM4,000 hingga RM20,000 di aras bawah premis belum diterima peniaga ,” katanya kepada wartawan.
Beliau mewakili 30 pemilik butik di SACC Mall mendakwa sudah mengemukakan permohonan kepada Menteri Besar Selangor serta pihak pengurusan supaya bayaran sewa dapat diberi diskaun sehingga perniagaan pulih seperti biasa.
Pada ketika ini, pihak pengurusan memberi pengecualian sewa pada bulan April, diskaun sebanyak 30 peratus bagi sewa Mei sahaja dan kadar normal pada bulan seterusnya.
Sewa bulanan yang dikenakan adalah antara RM1,800 hingga RM20,000 sebulan bergantung kepada keluasan tapak.
Syarikat jenama terkenal seperti MPH, Dyana Jewellery dan lain-lain sudah menutup sepenuhnya operasi.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan gedung pakaian terkenal Maya Silk, Deepa Khiyani berkata, Maya silk memiliki 10 rangkaian termasuk di SACC Mall dan memberi diskaun sewa secara berperingkat sehingga pemilik rangkaian mereka pulih seperti biasa.
“Diskaun berperingkat diberi bermula daripada bulan ini 70 peratus, bulan depan 60 peratus, 50 peratus, bulan seterusnya 40 peratus dan semakin kurang diskaun apabila perniagaan semakin stabil.
“Prinsip kami berat sama dipikul ringan sama dijinjing, kami pun bertimbang rasa secara logiknya bagaimana mereka mahu bayar sewa jika pelanggan pun tiada.
“Justeru itu diharapkan pihak kerajaan Negeri dan pengurusan SACC MALL, dapat mempertimbangkan diskaun bayaran sewa bulanan Mei sehingga Disember 2020 seperti yang telah dilaksanakan di bangunan kerajaan negeri lain,” katanya.
Kompleks SACC Mall dimiliki anak syarikat Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS) iaitu PKNS Real Estate Sdn Bhd yang menguruskan bersama kompleks PKNS dan PKNS Bangi.
Sementara itu, wartawan sudah mendapat maklum balas pihak pengurusan bangunan untuk memberi ulasan dalam waktu terdekat. – MalaysiaGazette