Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad bercakap di sidang media mengenai pengumuman inisiatif dan pendekatan terkini Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung krisis Covid-19 di Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)@Sentral, Kuala Lumpur Sentral. foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Akta Syarikat akan dipinda mengambil kira kesan yang yang dihadapi oleh aktiviti perniagaan syarikat-syarikat di negara ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 bermula 18 Mac lalu. 

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, undang-undang yang lebih menyeluruh perlu diwujudkan agar dapat  membantu syarikat-syarikat yang mengalami masalah berikutan pandemik yang telah mengorbankan 121 nyawa di Malaysia itu. 

“Pengalaman kita apabila berlaku PKP berpanjangan, restriction telah menjejaskan aktiviti ekonomi dan perniagaan sehingga terdapat kesan-kesan tertentu terpaksa dialami oleh syarikat dan industri.

“Jadi peruntukan-peruntukan yang ada dalam akta sedia ada mungkin tidak memberikan perlindungan secara berkesan kepada syarikat dan industri,” katanya

Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman inisiatif dan pendekatan terkini SSM berhubung krisis Covid-19 di Menara SSM di sini hari ini.

Menurut Hasnol, pindaan kepada akta-akta sedia ada juga penting untuk memberikan satu mekanisme perlindungan yang berpanjangan dan berkesan kepada syarikat dan industri. 

Katanya, deraf pindaan yang sedang disiapkan oleh SSM itu dijangkakan dibawa dan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“Walaubagaimanapun tertakluk kepada proses yang diberikan Peguam Negara dan status pembentangan rang undang-undang lain di Dewan Rakyat yang mana bermula Julai nanti jadi sebolehnya kita bawa ke Dewan Rakyat pada penghujung tahun ini,” katanya.  – MalaysiaGazette